SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) masih melihat peluang untuk bekerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan termasuk Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengarah Pilihan Rayanya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau sudah pun mengadakan pertemuan dengan Keadilan Melaka semalam dan juga mendengar pandangan daripada PH Melaka.
Katanya, pertemuan dengan BN akan diadakan dalam masa terdekat untuk melihat peluang yang boleh diteroka susulan terdapat strategi untuk dipertimbang sekiranya kedua-dua gabungan itu bekerjasama.
“Saya perlu muktamadkan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR supaya kita boleh membuat keputusan dasar untuk langkah seterusnya sama ada kita bertanding dengan persefahaman bersama beberapa pihak
“Ataupun kita fokus kepada kawasan-kawasan kita di samping ada persetujuan dengan pihak-pihak tertentu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik Jalan dan Lebuhraya Selangor 2026-2030 di sini, hari ini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan rundingan dan perbincangan hala tuju parti itu bagi menghadapi PRN Melaka masih lagi berjalan.
Asyraf berkata, bahawa sebarang perkembangan masih di peringkat perundingan sesama kepimpinan.
Bagaimanapun pada Ahad lalu, Mingguan Malaysia melaporkan PH membayangkan bertanding solo dalam PRN Melaka apabila gabungan itu memuktamadkan agihan kerusi antara PKR, DAP dan Amanah) di peringkat kepimpinan negeri.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, namun keputusan akhir berhubung susunan keseluruhan gabungan itu akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH dijangka minggu depan.
Sementara itu, Amirudin menjelaskan, bagaimanapun pihaknya bersedia sekiranya terdapat keperluan PH untuk bergerak bersendirian dengan cuba mengelakkan sebarang pertembungan.
“Strategi penting kepada PH adalah memaksimumkan potensi di kawasan-kawasan kita, cuba mengelak sebarang pertembungan yang tidak diperlukan dan memberikan tawaran terbaik kepada rakyat di Melaka,” ujarnya. – UTUSAN











