IPOH: Lelaki yang didakwa membunuh penghuni sebuah pusat jagaan di Tanjung Rambutan pada 3 September lalu, diperintah menjalani pemeriksaan psikiatri oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Norizan Riduan memerintahkan tertuduh, Soo Kim Keong, 51, dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan bagi menjalani pemeriksaan berkenaan.
Terdahulu, tertuduh didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Chong Mun Long, 28, di sebuah pusat jagaan di Jalan Chemor, Tanjung Rambutan dalam daerah Kinta antara pukul 3 hingga 4 pagi pada 3 September 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta, jika tidak dijatuhkan hukuman mati, dikenakan tidak kurang 12 sebatan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Kim Keong yang juga penghuni pusat jagaan berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya, S. Kirthana memohon mahkamah mengarahkan tertuduh dihantar ke hospital psikiatri bagi mendapatkan laporan kesihatan mental kerana didakwa tidak stabil.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan sebutan semula kes pada 30 Oktober depan untuk serahan laporan psikiatri.
Difahamkan, berlaku perselisihan faham membabitkan tertuduh dan mangsa sebelum lelaki itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada 17 September lalu.
Susulan itu, tertuduh ditahan pada keesokkan harinya bagi membantu siasatan berhubung kematian mangsa.
Berdasarkan hasil bedah siasat, punca kematian mangsa disebabkan jangkitan paru-paru dan kecederaan tumpul pada kepala. – UTUSAN











