Letusan Anak Krakatau telah menjejaskan penerbangan dan perjalanan di Indonesia, termasuk laluan antara Malaysia dengan Jakarta apabila beberapa penerbangan terpaksa dibatalkan.
Kedudukan negara dalam ekosistem ekonomi dan penerbangan Asia Tenggara menjadikan risiko rentas sempadan sesuatu yang perlu diberi perhatian.
Anak Krakatau sepatutnya menjadi amaran kepada organisasi di Malaysia. Banyak pihak mungkin mempunyai pelan kecemasan tetapi kewujudan dokumen tidak semestinya menjamin kesiapsiagaan sebenar.
Krisis tidak berlaku mengikut jadual. Maklumat boleh berubah dengan pantas, keputusan perlu dibuat dalam keadaan tidak pasti dan pelanggan pula mahukan jawapan segera.
Organisasi yang benar-benar berdaya tahan bukan sekadar bertindak balas dengan pantas. Mereka sudah memikirkan kemungkinan sebelum kemungkinan itu menjadi realiti.
Tiada organisasi mampu menguruskan krisis rentas sempadan secara bersendirian. Syarikat penerbangan boleh menyusun semula jadual tetapi tidak mengawal keadaan ruang udara.
Lapangan terbang boleh menerima penerbangan tambahan, namun kapasiti tetap mempunyai had.
Justeru, krisis seperti ini menguji keseluruhan ekosistem.
Pihak berkuasa penerbangan, pengendali lapangan terbang, syarikat penerbangan, agensi meteorologi, kerajaan, sektor pelancongan, hotel, syarikat logistik serta rakan antarabangsa perlu mempunyai koordinasi yang berkesan.
Dalam keadaan sedemikian, maklumat menjadi aset strategik. Maklumat yang lambat atau bercanggah boleh mencetuskan kekeliruan dan menjejaskan keyakinan.
Malaysia memerlukan perkongsian maklumat yang pantas, tepat dan konsisten supaya setiap pihak dapat membuat keputusan berdasarkan gambaran yang sama.
Gangguan seperti ini juga boleh membuka ruang kepada Malaysia memainkan peranan sebagai pintu masuk alternatif rantau Asia Tenggara, tertakluk kepada aspek keselamatan dan kapasiti operasi.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), misalnya, wajar dilihat bukan sekadar memenuhi permintaan biasa, tetapi turut menyokong daya tahan serantau.
Pada masa sama, Malaysia perlu melaksanakan Ujian Tekanan Bencana Rentas Sempadan Nasional bagi sektor kritikal seperti penerbangan, pelancongan, logistik dan rantaian bekalan.
Hari ini mungkin debu gunung berapi. Esok mungkin gempa bumi, banjir besar, serangan siber, konflik geopolitik atau gangguan rantaian bekalan.
Hakikatnya, Malaysia tidak perlu menjadi punca sesuatu krisis untuk menerima akibatnya. Dalam ekonomi Asia Tenggara yang saling berhubung, bencana di negara jiran boleh memberi kesan segera kepada pelbagai sektor di Malaysia.
Sempadan geografi bukan lagi sempadan kepada risiko.
Persoalannya bukan sama ada gangguan rentas sempadan akan berlaku lagi tetapi sejauh mana kita bersedia menghadapinya. Daya tahan strategik tidak dibina ketika krisis sedang berlaku. Ia perlu dibina sebelum krisis tiba. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. YUSMANI
MOHD. YUSOFF
Universiti Utara Malaysia (UUM)











