Dua ‘cucu Krakatau’ terbentuk selepas letusan di Selat Sunda

Dua ‘cucu Krakatau’ terbentuk selepas letusan di Selat Sunda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Dua pulau baharu muncul berhampiran Gunung Berapi Anak Krakatau di Selat Sunda selepas letusan berterusan selama kira-kira 25 jam pada awal September.

Fenomena itu dipercayai muncul buat kali pertama dalam hampir satu abad di kawasan kawah besar Krakatau yang terbentuk selepas letusan dahsyat pada 1883.

Daratan yang terletak beberapa ratus meter dari Anak Krakatau itu sudah digelar ‘cucu Krakatau’ oleh penduduk tempatan, namun ahli geologi menegaskan masih terlalu awal untuk menentukan sama ada ia benar-benar pulau baharu atau sekadar timbunan bahan letusan yang muncul di atas permukaan laut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Badan Geologi Indonesia, satu daratan dikesan kira-kira 760 meter dari pantai barat laut Anak Krakatau, manakala satu lagi terletak sekitar 495 meter di tenggara.

Kedua-duanya berada hampir dalam satu garisan merentasi kawah Anak Krakatau dari arah barat laut ke tenggara.

Penilaian awal menunjukkan magma yang agak cair ketika episod letusan berterusan mungkin sampai ke permukaan menerusi rekahan memanjang dari barat laut ke tenggara.

Bahan letusan yang keluar kemudian terkumpul di kawasan laut cetek sehingga membentuk dua timbunan menyerupai pulau.

Namun, pakar berkata, pemeriksaan lanjut di lapangan diperlukan untuk menentukan struktur dan bahan yang membentuk kedua-duanya.

Petunjuk paling jelas mengenai salah satu daratan baharu itu diperoleh secara tidak sengaja hampir dua minggu selepas letusan.

Aktivis pelancongan dari Kalianda, Lampung Selatan, Yodistara Nugraha ketika itu menggunakan dron untuk membantu mencari sekumpulan wartawan dan individu lain yang dilaporkan hilang di laut ketika melakukan perjalanan liputan ke Anak Krakatau.

Dalam penerbangan terakhir dronnya pada hari berkenaan, kamera merakam ombak memecah pada satu daratan rendah berwarna gelap di antara Pulau Sertung dengan Anak Krakatau. Rakaman itu dipercayai menunjukkan daratan baharu di sebelah barat laut.

“Saya pada mulanya tidak sedar saya mungkin merakam sesuatu yang baharu. Hanya selepas itu saya memahami betapa menarik dan pentingnya rakaman tersebut,” katanya.

Kemunculan daratan baru itu menarik perhatian kerana sejarah kepulauan Krakatau sendiri sentiasa berubah akibat proses letusan dan hakisan.

Anak Krakatau mula muncul selepas letusan besar Krakatau pada 1883 yang memusnahkan sebahagian besar pulau asal dan mengorbankan lebih 36,000 orang.

Aktiviti gunung berapi bawah laut di lokasi Anak Krakatau mula diperhatikan dengan jelas pada penghujung 1927.

Pada Disember 2018, sebahagian besar sisi Anak Krakatau runtuh ketika letusan, mencetuskan tsunami di Selat Sunda dan menyebabkan ketinggian puncaknya merosot dengan mendadak.

Profesor Vulkanologi Universiti Birmingham, Sebastian Watt berkata, daratan gunung berapi yang terletak hampir dengan paras laut sememangnya sangat dinamik.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN