Anggota polis tidak mengaku terima suapan RM2,400

Anggota polis tidak mengaku terima suapan RM2,400

ROSLEE Mamat semasa dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas empat pertuduhan menerima suapan. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,400 sebagai balasan memberikan maklumat awal berhubung operasi atau serbuan polis.

Roslee Mamat, 43, berpangkat sarjan mejar yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima RM1,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya pada 13 Oktober 2022 daripada seorang individu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Wang itu didakwa diterima sebagai dorongan untuk memberikan perlindungan dengan memaklumkan lebih awal sekiranya terdapat operasi atau serbuan polis supaya dia dapat melarikan diri dan mengelak daripada ditangkap.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM500 daripada individu sama di Masjid Gong Terap, Setiu pada Oktober 2022 bagi tujuan sama.

Tertuduh didakwa menerima sekali lagi RM500 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya pada 5 Disember 2022 diikuti RM400 pada 27 Disember tahun sama.

Semua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi semua pertuduhan.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan bahawa tertuduh tidak dibenarkan memiliki atau memohon pasport, tidak berkomunikasi dengan mana-mana pihak

pendakwaan dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 27 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amalina Najwa Mohd. Ali manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Fakhrul Fikri Mokhtar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×