PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bersama rakan usaha samanya memuktamadkan keputusan pelaburan bagi projek LNG Canada Fasa 2 mencerminkan kepercayaan terhadap kepakaran dan kemampuan Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan bagi projek di Kitimat, British Columbia itu membuka jalan kepada pelaburan sektor swasta bernilai CA$33 bilion.
“Pembesaran ini bakal menjadikan LNG Canada antara kemudahan gas asli cecair terbesar di dunia, sekali gus memperkukuh bekalan tenaga kepada pasaran antarabangsa.
“Tahniah kepada seluruh warga Petronas atas kejayaan ini. Keupayaan syarikat negara menjayakan projek tenaga berskala besar bersama rakan antarabangsa turut mencerminkan kepercayaan terhadap kepakaran dan kemampuan Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pihaknya turut menghargai sokongan yang diberikan oleh Perdana Menteri Kanada, Mark Carney kepada Petronas.
“Saya mengalu-alukan pertemuan dengan beliau serta delegasi bersama PM Carney dan delegasi Kanda pada masa akan datang bagi memperkukuh hubungan persahabatan dan memperluas kerjasama Malaysia-Kanada,” katanya. – UTUSAN










