LONDON: Beberapa orang suami sanggup beratur panjang selama lebih 12 jam di luar sebuah kedai barangan terpakai mewah untuk membeli beg tangan jenama Chanel pada harga diskaun untuk isteri mereka di Knightsbridge, London.
Lebih 2,000 pembeli membanjiri premis jualan Sellier pada hujung minggu lalu sempena jualan murah.
Jualan tersebut turut menawarkan pelbagai barangan jenama mewah seperti Hermès, Dior dan Louis Vuitton pada harga di bawah £2,500 (RM13,533).
Barisan panjang pembeli di selekoh jalan pada Sabtu lalu turut mencetuskan kesesakan di kawasan sekitar ketika para pemburu barangan jenama terpakai berebut peluang untuk mendapatkan tawaran hebat tersebut.
Namun, di sebalik kebanjiran pembeli wanita, kelihatan beberapa suami yang setia menjaga tempat dalam barisan bagi pihak isteri mereka.
Salah seorang suami ditemukan mula beratur seawal jam 11.30 malam waktu tempatan. Ia berlaku sebelumbeberapa minit pintu kedai dibuka. Isterinya kemudian mengambil alih tempat untuk mendapatkan beg idaman.
“Pasangan saya, kasihan dia, sudah berada di sini sejak jam 11.30 malam. Saya baharu sampai dua minit lalu, terus keluar dari kenderaan dan bertukar tempat dengannya. Dia memang seorang suami yang sangat baik,” kata wanita itu.
Bagaimanapun, tempoh menunggu selama 12 jam itu bukanlah yang paling lama.
Dua lelaki yang beratur di barisan paling hadapan mendedahkan bahawa mereka telah tiba di lokasi seawal jam 9 malam hari sebelumnya, dan sanggup bermalam di luar kedai demi mendapatkan beg Chanel yang terbaik untuk pasangan masing-masing.
“Kami berada di sini sejak pukul 9 malam semalam. Sama ada mahu mencari beg Chanel bersaiz jumbo kecil, saya tidak tahu nama modelnya tetapi isteri saya ada menghantar gambarnya,” kata seorang penduduk dari London.
Acara jualan murah itu membuktikan popularitinya apabila terdapat pembeli dari Marseille, Perancis sanggup datang semata-mata untuk membeli beg tangan jenama mewah. –AGENSI











