MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin didakwa menghidupkan semula sistem nuklear era Perang Dingin di bawah banjaran gunung terpencil di kawasan hutan Ural, tengah negara itu.
Sistem itu direka bertujuan untuk melancarkan serangan balas manakala ‘kubu’ tersebut telah diperbesarkan secara besar-besaran, sekali gus menandakan kebangkitan semula strategi nuklear ‘Dead Hand’ ketika Russia dikenali sebagai Kesatuan Soviet.
Kubu pertahanan yang dikenali sebagai Fasiliti 1335 itu terletak berhampiran perkampungan kecil Kytlym.
Kawasan kompleks tentera yang dikawal ketat oleh tentera Russia itu terletak ratusan kilometer dari mana-mana bandar utama dan dikelilingi bentuk muka bumi yang sukar dilalui.
Tapak berkenaan merupakan sebahagian daripada yang dikenali di Barat sebagai ‘Dead Hand’ bertujuan mengekalkan keupayaan negara itu untuk membalas dendam terhadap musuh walaupun serangan dahsyat telah memutuskan talian komunikasi kepimpinan mereka.
Sekiranya serangan sedemikian berlaku, Fasiliti 1335 akan memancarkan isyarat radio ke pelancar peluru berpandu bergerak dan sisa silo pelancaran yang masih terselamat untuk memulakan serangan balas secara besar-besaran.
Imej satelit, dokumen pembinaan dan beberapa kepingan foto yang dimuat naik dalam talian oleh anggota tentera Russia mendedahkan skala projek luar biasa yang sedang dilaksanakan di tapak berkenaan.
Pakar-pakar berpendapat, pelaburan baharu itu menunjukkan Kremlin kini kembali memberi penekanan amat tinggi bagi memastikan prasarana perintah nuklearnya mampu bertahan daripada serangan skala besar. Fasiliti 1335 itu sendiri dirancang khusus untuk menahan letupan bom pemusnah kubu bawah tanah milik Amerika Syarikat (AS).
Satu siasatan bersama oleh The Sunday Times di Britain, Danwatch dan Dossier Centre membongkarkan kerja pembinaan bernilai ratusan juta pound di tapak tersebut, termasuk pembinaan terowong baharu dan sekurang-kurangnya 24 bilik dewan bawah tanah. – AGENSI











