SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap semalam bagi mencari titik penyelesaian berhubung isu adat dan istana negeri itu.
Pertemuan yang berlangsung lebih dua jam itu ekoran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Ismail menghadap Tuanku Muhriz berhubung kemelut yang berlaku di negeri itu.
Bagaimanapun, Ismail tidak kelihatan keluar melalui pintu utama istana bagi menemui media sebaliknya kenderaan yang membawanya dilaporkan meninggalkan kawasan berkenaan melalui laluan belakang.
Kira-kira pukul 1.50 petang, kenderaan yang membawa Undang Luak Sungei Ujongi, Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Rembau, Hassan Ab Hamid Ismail dilihat mula meninggalkan pekarangan istana berkenaan.
Dalam pada itu, Hassan yang turut berada di dalam salah sebuah kenderaan sempat membuka tingkap dan menjawab pertanyaan media mengenai perkembangan pertemuan berkenaan.
“Tak selesai lagi,” katanya ringkas ketika ditanya sama ada perkara yang dibincangkan sudah selesai.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pertemuan antara Ismail dan Tuanku Muhriz merupakan perjumpaan sulit dan pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat untuk dikongsikan berhubung perbincangan tersebut.
“Perjumpaan itu adalah satu perjumpaan dan juga perbincangan sulit. Saya di sini tidak akan memberikan apa-apa input kepada pihak media.
“Kalau ada maklumat, kita boleh bekalkan kemudian,” katanya.
Mengulas mengenai aspek keselamatan sepanjang pertemuan itu, beliau berkata, tanggungjawab pihak polis adalah memastikan keselamatan dalam negeri tanpa mengira sama ada terdapat arahan khusus daripada pihak Tuanku atau sebaliknya.
“Sebenarnya tugas dan tanggungjawab kita adalah untuk menjaga keselamatan. Sama ada arahan daripada Tuanku atau apa-apa. Keutamaan kami adalah berkenaan dengan keselamatan dalam negeri,” katanya
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada Ismail berhubung hasil pertemuan dengan Tuanku Muhriz.
Pertemuan tersebut berlangsung selepas Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggesa Ismail menghadap Tuanku Muhriz bagi mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut yang berlaku di negeri itu.
Sesi menghadap itu dipercayai berkaitan perkembangan terbaharu kemelut politik dan pentadbiran negeri yang turut membabitkan kedudukan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).
Sebelum ini, pelantikan barisan Exco Negeri Sembilan dilaporkan dibatalkan, manakala Ismail kekal menjalankan tugas sebagai Menteri Besar. – UTUSAN











