Penting cari pasangan sekufu, Puteri Sarah Liyana terinspirasi dengan Tun Mahathir, Tun Siti Hasmah - Utusan Malaysia

Penting cari pasangan sekufu, Puteri Sarah Liyana terinspirasi dengan Tun Mahathir, Tun Siti Hasmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Puteri Sarah Liyana berpendapat setiap individu perlu mencari pasangan yang sekufu terutama dari segi ilmu, pemikiran dan cara melihat kehidupan dalam membina rumah tangga.

Menurut Puteri Sarah, dirinya turut terinspirasi kemanisan rumah tangga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang dianggap sebagai contoh pasangan yang sekufu.

“Orang selalu bercakap tentang mencari pasangan yang boleh membahagiakan kita. Tetapi bagi saya, ada satu perkara yang sama penting iaitu mencari pasangan yang sekufu, terutama dari segi ilmu, pemikiran dan cara melihat kehidupan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya melihat Tun Dr. Mahathir dan Tun Dr. Siti Hasmah sebagai satu contoh yang menarik. Mereka bertemu ketika sama-sama belajar dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura sebelum berkahwin pada 1956.

“Tun Dr. Siti Hasmah pula bukan sekadar isteri kepada seorang pemimpin. Beliau sendiri seorang doktor, wanita Melayu tunggal dalam kelompoknya ketika belajar perubatan dan kemudiannya menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri,” katanya di Threads.

Tambah Puteri Sarah, pasangan sekufu tidak semestinya bergantung pada tahap pendidikan mahupun kelulusan, sebaliknya keserasian dari segala perihal demi terus maju dalam kehidupan bersama.

“Cantiknya sebuah perkahwinan bukan hanya apabila dua orang saling mencintai, tetapi apabila mereka boleh berbicara pada tahap pemikiran yang sama, menghormati ilmu masing-masing, bertukar pandangan dan terus berkembang bersama.

“Sekufu bukan bermaksud mesti mempunyai sijil atau kerjaya yang sama. Tetapi apabila pemikiran, nilai, kematangan dan keinginan untuk terus belajar itu seiring, perjalanan hidup bersama mungkin terasa lebih bermakna,” jelasnya.

Sarah bagaimanapun turut menasihatkan orang ramai agar mencari pasangan hidup yang dapat menghormati cara pemikiran

“Carilah pasangan yang bukan hanya mahu hidup bersama kita, tetapi seseorang yang boleh berkembang bersama kita dari segi intelektual, emosi dan spiritual.

“Kerana cinta itu penting, tetapi mempunyai pasangan yang kita boleh hormati pemikirannya adalah satu bentuk kebahagiaan yang berbeza,” ujarnya.

Kisah percintaan tokoh negara, Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah kini hangat menjadi teladan masyarakat selepas melihat kehebatan dua figura hebat itu mempertahankan bahtera perkahwinan mereka selama 70 tahun bersama.

Pada Isnin, Tun Dr Siti Hasmah dikhabarkan telah meninggal dunia pada usianya 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 920 pagi.

Pemergian Allahyarhamah turut ditangisi seluruh rakyat Malaysia, malah ramai tersentuh melihat kesugulan bekas Perdana Menteri keempat negara itu yang perlu meneruskan kehidupannya tanpa insan tersayang di sisi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×