HANYA beberapa hari sebelum Formula 1 kembali ke Sepang, perhatian kini tertumpu kepada persiapan terakhir menjelang perlumbaan yang dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober 2026.
Namun, di sebalik persiapan yang rancak di litar bagi penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix tersebut, keadaan jerebu yang sedang melanda negara ketika ini wajar diberi perhatian.
Kesan jerebu terhadap setiap acara mungkin berbeza, tetapi persoalan asasnya adalah sama. Keselamatan peserta, penonton dan petugas menjadi keutamaan.
F1 pula mempunyai pertimbangan operasi yang lebih kompleks. Perlumbaan F1 dijangka menghimpunkan antara 100,000 dan 150,000 penonton serta 3,000 hingga 5,000 kru termasuk penganjur, pegawai Persekutuan Autombil Antarabangsa (FIA), kru penyiaran TV antarabangsa, kru perubatan dan pit marshal.
Selain kesihatan penonton dan petugas, tahap kelajuan kereta F1, jarak penglihatan, keselamatan pelumba, marshal, pasukan perubatan dan operasi litar semuanya perlu dinilai sekiranya keadaan udara merosot.
Risiko
Kesan jerebu tidak berhenti di lokasi penganjuran semata-mata.
Pengunjung yang datang untuk F1, misalnya, turut menggunakan hotel, restoran, pengangkutan, pusat beli-belah dan perkhidmatan pelancongan lain.
Kepulangan F1 ke Sepang dilihat sebagai peluang untuk menghubungkan perlumbaan dengan agenda pelancongan yang lebih luas, termasuk menggalakkan pengunjung untuk melanjutkan tempoh penginapan dan meneroka destinasi lain di Malaysia.
Perkara ini amat relevan ketika Malaysia sedang melaksanakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Sebarang gangguan atau pembatalan pada saat akhir berpotensi memberi kesan kepada rantaian ekonomi yang bergantung pada kehadiran pengunjung, termasuk sektor hotel, restoran, pengangkutan dan perkhidmatan pelancongan lain.
Lebih daripada itu, sebarang gangguan juga boleh mempengaruhi pengalaman pengunjung terhadap Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan tuan rumah acara antarabangsa.
Atas sebab itu, ancaman jerebu mesti diberi perhatian sebagai salah satu aspek terpenting dalam pengurusan risiko bagi penganjuran acara antarabangsa kali ini.
Bersedia
Tumpuan kini adalah kepada pemantauan dan komunikasi. Komunikasi yang jelas antara pihak berkuasa, penganjur, pasukan antarabangsa dan orang ramai amat penting sekiranya keadaan berubah.
Bagi pengunjung yang sudah membuat tempahan penerbangan, hotel dan tiket perlumbaan, penyampaian maklumat yang tepat dan konsisten dapat memberikan keyakinan serta mengurangkan spekulasi.
Ini tidak bermakna setiap peningkatan bacaan pencemaran udara perlu diterjemahkan kepada penangguhan atau pembatalan acara.
Sebaliknya, pemantauan berterusan memberikan ruang untuk menilai risiko secara berperingkat dan membuat keputusan berdasarkan keadaan sebenar.
Perlu optimis
Persoalan sama ada jerebu akan reda sebelum F1 Sepang masih belum mempunyai jawapan yang pasti. Keadaan banyak bergantung kepada perkembangan kebakaran, hujan dan arah angin.
Justeru, agensi terlibat perlu memantau setiap risiko dengan teliti serta mengambil tindakan susulan yang bersesuaian. Dengan data dan maklumat yang mencukupi, keputusan dapat dibuat berdasarkan keadaan sebenar.
Diharapkan perubahan cuaca dan hujan dapat membantu memperbaiki kualiti udara, manakala perubahan arah angin pula akan mempengaruhi pergerakan asap jerebu.
Buat masa ini, yang diperlukan ialah pemantauan rapi, komunikasi yang baik dan persediaan yang menyeluruh sekiranya keadaan berubah.
Segala usaha perlu digembleng agar F1 dapat kembali ke Sepang seperti yang dirancang serta memberi manfaat kepada sektor sukan, pelancongan, hospitaliti dan ekonomi. – UTUSAN
AKMAL ADANAN
Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM Cawangan Melaka










