MELAKA: Sebanyak 701 buah telefon pintar terpakai pelbagai model berjenama iPhone dan 870,000 batang rokok seludup dirampas dalam dua operasi berasingan membabitkan nilai keseluruhan RM1.527 juta termasuk duti dan cukai.
Pengarah Kastam Melaka, Roslan Yusoff berkata, rampasan telefon itu melibatkan sebuah bot yang diperiksa di sebuah jeti di Pelabuhan Klang, Selangor pada 23 Julai lalu.
Menurutnya, pemeriksaan kira-kira pukul 4.30 pagi itu menemukan telefon yang disimpan dalam beberapa kotak, dibalut plastik hitam dan disembunyikan di bahagian dalam bot.
“Bot tersebut tiba membawa muatan sayur-sayuran untuk dihantar dan berdasarkan dokumen pengikraran, ia dijadualkan kembali ke negara asal tanpa membawa sebarang dagangan.
“Bot berkenaan hanya diikrarkan akan membawa pulang sebanyak 250 kotak kosong dari pelabuhan tersebut,” katanya ketika sidang akhbar di Wisma Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka, Ayer Keroh di sini hari ini.
Roslan berkata, kesemua 11 anak kapal warga asing berusia antara 34 hingga 61 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang mewakili syarikat penghantaran dan bertanggungjawab menguruskan dokumen.
Beliau berkata, telefon terbabit dianggarkan bernilai RM716,184 termasuk duti dan cukai serta tertakluk kepada kehendak di bawah Butiran 43, Jadual Ketiga, Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023.
“Antara model yang dirampas adalah iPhone 11, 12, 13, 14 Plus, 14 Pro, 14 Pro Max, 15, 16, 16 Plus, 16 Pro dan Pro Max,” katanya.
Roslan berkata, pihaknya turut merampas 870,000 batang rokok tidak berkastam yang dianggarkan bernilai RM811,180 termasuk duti dan cukai pada 13 Ogos lalu. – UTUSAN











