PETALING JAYA: Filem epik aksi Orang Perang mengangkat keberanian masyarakat Orang Asli kaum Semai dalam mempertahankan tanah air ketika Tanah Melayu berdepan ancaman komunis pada era 1950-an.
Arahan Hashim Rejab dan terbitan 3Line Media Sdn. Bhd. bersama Nanord Studio Production, filem yang diinspirasikan daripada kisah benar itu bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 1 Oktober ini.
Menurut Hashim, Orang Perang menggabungkan elemen aksi, persahabatan dan konflik kepercayaan menerusi kisah seorang pemuda bernama Bah Tangga.
Katanya, filem itu bukan sekadar memaparkan pertempuran di hutan, malah mengetengahkan pilihan sukar yang dihadapi individu yang terperangkap dalam konflik dan keganasan.
“Kisah ini turut mengetengahkan Senoi Praaq serta kepakaran Orang Asli dalam menjejaki pergerakan di hutan.
“Hubungan antara masyarakat, pasukan keselamatan dan individu daripada latar berbeza menjadi asas kepada penceritaan mengenai keberanian mengatasi prasangka demi keamanan bersama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Filem itu dibintangi Niezam Zaidi, Syazwan Zulkifli, Ammar Alfian, Fadli Masoot, Dewa Arteh, Izuan Razali, Adam Corrie, Hairi Safwan dan Fauzi Nawawi.
Turut membintangi Orang Perang ialah Razib Salimin, Kazar Sarsi, Azhan Rani, Pui Yi dan Vanida Imran.
Menurut Hashim, penggambaran filem itu dilakukan di beberapa lokasi termasuk Perdik Fall di Ulu Langat, Bukit Tunku dan Kem Asia di Semenyih.
Katanya, latar hutan dan perkampungan menjadi antara elemen penting bagi menghidupkan suasana Tanah Melayu era 1950-an.
Tambahnya, menerusi kisah Bah Tangga dan masyarakat di sekelilingnya, Orang Perang turut mengetengahkan nilai persahabatan, kesetiaan, keberanian serta pengorbanan masyarakat Orang Asli ketika berdepan ancaman terhadap keselamatan dan kehidupan mereka.
“Filem itu pada masa sama menjadi penghormatan terhadap semangat juang masyarakat Orang Asli, selain mengajak penonton menghargai keamanan dan kehidupan bersama dalam masyarakat yang berdepan konflik,” katanya.
Selain membintangi filem itu, Niezam turut bergandingan dengan Elly Langkasuka menerusi lagu Sumpah Leluhur, yang menjadi lagu runut bunyi asal (OST) Orang Perang ciptaan Achoi Floor 88.











