Siapa melukis Patani dalam fikiran kita?

Siapa melukis Patani dalam fikiran kita?

MEMPERBETULKAN naratif Patani tidak bermaksud menjadikan media pro-BRN atau anti-Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEDIA tidak mempunyai kuasa menarik sempadan negara tetapi media mempunyai kuasa yang hampir sama pentingnya: Melukis sempadan dalam fikiran manusia.

Sebuah wilayah boleh dipersepsikan sebagai tanah air, wilayah bergolak, kawasan keselamatan, tanah yang hilang atau ruang yang mahu “dikembalikan”. Patani ialah contoh bagaimana kuasa kartografi media itu bekerja.

Selama bertahun-tahun, masyarakat di luar Pattani, Yala dan Narathiwat banyak mengenali wilayah selatan Thailand melalui berita mengenai letupan, serangan bersenjata, operasi keselamatan, kematian, tangkapan dan rundingan damai.

Memuatkan artikel berkaitan…

Semua peristiwa itu memang sebahagian daripada realiti konflik dan tidak seharusnya disembunyikan. Masalah timbul apabila peristiwa keganasan menjadi hampir satu-satunya pintu untuk memasuki Patani.

Apabila sesuatu wilayah berulang kali hadir dalam berita bersama bom dan senjata, lama-kelamaan wilayah tersebut tidak lagi sekadar mempunyai masalah keselamatan namun dipersepsikan sebagai sebuah “wilayah bermasalah”.

Kajian mengenai media Thailand sendiri menunjukkan bahawa persoalan ini bukan sekadar andaian.

Penyelidikan mengenai proses damai 2013 mendapati laporan media arus perdana yang dikaji masih kuat berada dalam bingkai nasionalisme berpusat Thai dan sangat sensitif terhadap wacana “pemisahan” sementara media alternatif serta ruang masyarakat sivil menyediakan lebih banyak tempat untuk membincangkan perdamaian dan penentuan nasib sendiri.

Penyelidikan lain mengenai pembingkaian berita pula menunjukkan bagaimana penggunaan kata kunci, tajuk dan pengulangan membantu menentukan cara konflik diterangkan kepada masyarakat.

Ini tidak bermaksud semua media Thai melihat Patani dengan cara yang sama.

Malah kajian terhadap wartawan tempatan atau pemberita daerah menunjukkan mereka mempunyai kelebihan kerana memahami masyarakat dan sensitiviti setempat walaupun kuasa menentukan agenda dan penerbitan sering berada pada organisasi media yang lebih berpusat.

Maka, di sinilah media mempunyai apa yang boleh disebut sebagai kuasa kartografi. Kartografer konvensional melukis gunung, sungai dan sempadan.

Media pula melukis peta makna. Ia menentukan apa yang berada di tengah dan apa yang berada di pinggir, siapa yang kelihatan normal dan siapa yang dianggap ancaman, suara siapa yang kedengaran dan sejarah siapa yang menjadi latar belakang.

Perhatikan sahaja perbezaan antara “selatan Thailand” dengan “Patani”. Kedua-duanya boleh merujuk kepada ruang geografi yang bertindih tetapi tidak membawa pembaca memasuki ruang itu melalui pintu makna yang sama.

“Selatan Thailand” melihat wilayah tersebut daripada geografi negara Thai. Selatan menjadi “selatan” kerana pusat rujukannya berada di Bangkok.

“Patani” pula membawa bersama sejarah, bahasa, agama, identiti Melayu dan memori politik yang lebih panjang.

Persoalannya ialah sama ada media menerangkan kepada khalayak bahawa dua istilah itu membawa dua sejarah persepsi yang berlainan.

Perkara yang sama berlaku terhadap istilah “pemisah”. Apabila sesebuah gerakan digambarkan sebagai mahu memisahkan wilayah daripada Thailand, peta Thailand hari ini secara tidak langsung dijadikan titik mula sejarah. Soalan yang muncul dengan sendirinya ialah: Mengapa mereka mahu keluar?

Sebaliknya Barisan Revolusi Nasional (BRN) cuba menggantikan bahasa “pemisahan” dengan “pengembalian”. Melalui bingkai itu, pertanyaannya dialihkan: bukan mengapa Patani mahu meninggalkan Thailand tetapi bagaimana Patani menjadi sebahagian daripada Thailand?

Tanahnya sama. Sempadannya tidak berubah hanya kerana perkataan berubah. Namun titik mula ceritanya telah berubah dan bersama perubahan itu berubah pula geografi persepsi pembaca.

“Pemisahan” menghasilkan gambaran seseorang mengambil sebahagian daripada sesuatu yang telah utuh. “Pengembalian” menghasilkan gambaran sesuatu yang didakwa pernah dimiliki, kemudian hilang dan kini mahu diperoleh kembali.

Istilah “pengembalian” tentu sahaja merupakan bingkai politik BRN dan bukannya dengan sendirinya suatu keputusan sejarah atau undang-undang antarabangsa.

Namun, tugas kewartawanan yang baik bukan sekadar memilih satu daripada dua label tersebut. Tugasnya ialah menerangkan mengapa kedua-dua bahasa itu wujud dan apakah sejarah yang melahirkan pertentangan tersebut.

Pertarungan kartografi menjadi lebih jelas apabila manusia yang berada dalam konflik mula dinamakan. “Penjahat”, “pengganas”, “insurgen”, “pemisah” dan “pejuang pembebasan” bukan perkataan yang menghasilkan gambaran mental yang sama.

Kajian pembingkaian media Thailand terhadap konflik selatan menunjukkan perubahan istilah memang pernah berlaku termasuk daripada bingkai berkaitan keganasan dan pemisahan kepada bingkai penentang sementara sesetengah media dalam talian lebih menonjolkan kemanusiaan, keamanan dan penyelesaian konflik.

Apabila seseorang hanya dinamakan penjahat atau pengganas, khalayak secara semula jadi dibawa kepada persoalan bagaimana ancaman itu harus dihapuskan atau dikawal.

Apabila aktor yang sama dilihat sebagai gerakan politik, soalan tambahan muncul: Apakah tuntutannya, apakah sejarahnya dan mengapa konflik itu mampu bertahan begitu lama?

BRN sendiri cuba membalikkan kartografi bahasa tersebut apabila wacananya menyatakan bahawa jika pejuang Patani terus dinamakan “pengganas”, pihak Thai boleh dibalas dengan istilah “penjajah”.

Kedua-dua istilah mempunyai beban politik yang besar. “Pengganas” menyerang legitimasi orang yang melawan sedangkan “penjajah” menyerang legitimasi struktur yang memerintah.

Media yang bertanggungjawab tidak perlu menerima salah satu daripadanya sebagai kebenaran mutlak.

Sebaliknya media perlu menjelaskan siapa menggunakan istilah itu, mengapa ia digunakan dan apakah kesannya terhadap cara khalayak memahami konflik.

Itu bukan bermaksud menggantikan satu propaganda dengan propaganda yang lain. Naratif yang melihat semua pejuang sebagai pengganas tidak diperbetulkan.

Serangan terhadap orang awam tetap perlu dilaporkan dan dipertanggungjawabkan.

Begitu juga tindakan negara yang menimbulkan persoalan mengenai hak, keadilan atau penggunaan kekerasan mesti diperiksa dengan ketelitian yang sama.

Apa yang diperlukan ialah naratif pembetulan.

Naratif pembetulan tidak bertanya hanya apakah berita itu benar atau salah. Ia mengemukakan satu pertanyaan tambahan: Apakah yang hilang daripada cerita ini?

Jika berita hanya melaporkan serangan, masukkan konteks mengapa konflik itu berpanjangan. Jika istilah “pemisah” digunakan, jelaskan bagaimana gerakan berkenaan mentakrifkan tuntutannya sendiri.

Jika wilayah itu disebut sebagai selatan Thailand, terangkan juga mengapa nama Patani terus mempunyai makna sejarah dan identiti bagi sebahagian masyarakatnya.

Jika sumber keselamatan diberikan ruang, berikan juga ruang kepada mangsa, masyarakat tempatan, ahli akademik, aktivis keamanan dan suara yang tidak membawa senjata.

Perubahan tersebut membawa kewartawanan daripada peristiwa kepada konteks. Berita masih perlu memberitahu siapa menyerang, siapa menjadi mangsa, berapa yang terkorban dan apa tindakan pihak berkuasa.

Namun konflik yang berlarutan tidak boleh difahami melalui pertanyaan siapa, apa, bila dan di mana sahaja. Ia memerlukan dua pertanyaan yang jauh lebih sukar: Mengapa dan bagaimana?

Tanpa kedua-duanya, masyarakat mungkin mengetahui setiap letupan tetapi tidak pernah benar-benar memahami konfliknya.

Penyelidikan terkini juga menunjukkan betapa pentingnya dimensi persepsi.

Satu kajian 2025 mengenai naratif konflik selatan mengenal pasti “persepsi media” sebagai salah satu dimensi konflik termasuk bagaimana laporan boleh menghasilkan ketakutan dalam kalangan orang luar walaupun kehidupan harian masyarakat tempatan mempunyai realiti yang jauh lebih kompleks.

Kajian lain mengenai ujaran kebencian dalam talian pula mendapati halaman media mapan mempunyai pengaruh besar terhadap reaksi komuniti terhadap kandungan berkaitan konflik.

Maka kewartawanan keamanan (peace journalism) bukan bermaksud menyembunyikan keganasan demi menghasilkan gambaran yang indah. Ia bermaksud menolak keganasan sebagai satu-satunya lensa untuk memahami sebuah masyarakat.

Media masih melaporkan bom, pada masa yang sama turut melaporkan kehidupan. Media melaporkan operasi keselamatan tetapi turut menerangkan sejarah.

Media melaporkan kenyataan kerajaan namun turut mendengar suara masyarakat yang hidup di antara negara dengan gerakan bersenjata.

Justeru, di situlah kita dapat membezakan kartografi media daripada geografi persepsi. Kartografi media ialah proses memilih nama, imej, sumber, sejarah dan bingkai yang digunakan untuk melukis sesuatu ruang.

Geografi persepsi ialah peta mental yang akhirnya terbentuk dalam fikiran khalayak setelah cerita itu dibaca, ditonton dan diulang selama bertahun-tahun.

Oleh sebab itu, memperbetulkan naratif Patani tidak bermaksud menjadikan media pro-BRN atau anti-Thailand.

Ia bermaksud mengembalikan sejarah kepada berita, konteks kepada keganasan, suara tempatan kepada representasi dan kerumitan kepada cerita yang terlalu lama boleh dipermudahkan sebagai masalah keselamatan.

Peta politik memberitahu kita di mana Patani berada. Namun, media turut menentukan bagaimana Patani berada dalam fikiran kita dan mungkin persoalan yang lebih penting siapa selama ini yang melukis Patani dalam imaginasi kita? –UTUSAN

PENULIS adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa dan mengulas isu semasa daripada perspektif semiotik dan naratif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×