KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Noh Salleh menyifatkan kemenangan lagu Matahari Malaya dalam kategori Lagu Perpaduan Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25), Sabtu lalu, sebagai satu penghormatan besar selepas melalui proses penghasilan yang sarat dengan idea dan semangat untuk menyatukan rakyat Malaysia.
Menurut Noh, idea menghasilkan lagu berkenaan tercetus menerusi kerjasama bersama penyanyi rap, MC Syze dan penerbit muzik, Kidd Santhe, yang sejak awal mahu menghasilkan karya yang mempunyai mesej perpaduan serta mampu memberi impak kepada masyarakat.
“Memang pada awalnya apabila kami dipanggil untuk berkolaborasi bertiga dengan MC Syze, kami terfikir, ‘Apa kata kita buat lagu untuk perpaduan Malaysia? Kita kena buat sesuatu yang memberi impak supaya orang boleh bersatu. Ini perkara yang serius.’
“Jadi, kami benar-benar duduk bersama dan bermula dari kosong. Kolaborasi memang ada, tetapi melodi belum ada. Kadang-kadang kami datang ke studio dengan tangan kosong,”katanya.
Noh berkata, kemenangan itu lebih bermakna kerana proses menghasilkan Matahari Malaya bukan sekadar berkisar mengenai muzik, sebaliknya turut melibatkan pemikiran mendalam dalam menghasilkan lirik dan susunan muzik, selain membabitkan ramai individu yang memberikan komitmen terbaik.
“Saya rasa sangat terhormat kerana apabila menang, saya melihat kembali proses, pemikiran untuk menghasilkan lirik dan susunan muzik serta semua orang yang terlibat. Bagi saya, ini adalah hasil daripada yang terbaik.
“Bukan bermaksud lagu-lagu lain tidak bagus. Setiap lagu yang bertanding mempunyai usaha dan matlamat yang sama, iaitu untuk menghasilkan lagu yang dapat menyatukan rakyat Malaysia.
“Jadi, untuk menjadi sebahagian daripada perkara ini pun sudah cukup baik bagi saya,” katanya.
Dalam pada itu, Kidd Santhe yang turut terlibat dalam penghasilan lagu berkenaan menyifatkan pengalaman bekerjasama dengan Noh dan MC Syze sebagai sesuatu yang istimewa, terutama kerana ia merupakan kali pertama beliau dapat menghasilkan karya bersama Noh.
“Apabila saya masuk ke studio bersama Noh Salleh dan MC Syze, anda perlu faham, ini kali pertama saya dapat bekerjasama dengan seorang bintang rock seperti Noh. Ini juga kali pertama saya dapat melihat bagaimana Noh mencipta lirik bersama kord, selain memainkan gitar dan bass.
“Tugas saya sebagai penerbit adalah memastikan lagu ini menjadi versi yang terbaik. Pada masa sama, saya turut mengisi bahagian dram untuk lagu ini, manakala MC Syze menyampaikan verse yang penuh emosi.
”Keseluruhan pengalaman menghasilkan lagu ini memang sangat luar biasa dan bagi saya, saya cuma mahu mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat,” katanya.
Mengulas mengenai idea asal menghasilkan lagu itu, Noh menjelaskan, gagasan berkenaan sudah lama dicetuskan MC Syze, malah kedua-duanya pernah berbincang untuk menghasilkan sebuah karya bersama sejak bertahun-tahun lalu.
“Idea ini sebenarnya sudah berpuluh tahun. Lama sangat. Sejak album pertama kami lagi, dia sudah cakap, ‘Kita patut buat sesuatu bersama.’ Tetapi masa itu, belum ada penulisan atau bentuk lagu yang jelas.
“Sehinggalah pada satu ketika dia berkata, ‘Tidak, kali ini serius. Kita perlu buat sesuatu kerana kita tahu betapa toksiknya media sosial.’ Orang Melayu, Cina, India dan semua golongan mula bergaduh kerana perkara tertentu, jadi kami rasa perlu menghasilkan sesuatu berdasarkan apa yang sedang berlaku.
“Sebagai pemuzik, kalau kemahiran yang kami ada tidak digunakan untuk tujuan yang betul, ia tidak membawa makna. Jadi apabila lagu ini akhirnya menang, kami memang rasa sangat terharu dan teruja,” katanya.
Noh turut menyifatkan kerjasama dengan MC Syze sebagai satu pengalaman yang cukup bermakna memandangkan beliau sudah lama mengenali dan mengagumi karya penyanyi rap berkenaan.
“Kalau ditanya, memang MC Syze yang datang dengan idea untuk kita buat perkara ini. Kami terus rasa, ‘Apa kata kita buat satu lagu bersama?’ Susunan dan bentuk penulisannya pula berkembang kemudian.
“Saya sudah lama menjadi peminat MC Syze. Kalau anda tidak tahu, dia sudah ada sejak zaman awal hip hop dan muzik rap lagi. Dia dengan Malik pun pernah menghasilkan lagu menggunakan PlayStation 1, pada zaman yang boleh dikatakan sangat awal dalam perkembangan muzik seperti itu.
“Jadi, sebagai peminat, saya memang rasa teruja dapat berkarya bersama dia. Kami masing-masing datang dengan pengalaman dan latar belakang sendiri, tetapi apabila duduk bersama untuk menghasilkan lagu ini, semuanya berjalan dengan baik,” katanya.
Tambah Noh, pengalaman menghasilkan Matahari Malaya menjadi lebih bermakna apabila karya berkenaan bukan sahaja dapat disiapkan, malah akhirnya menerima pengiktirafan di pentas AIM25.
“Keseluruhan pengalaman menghasilkan lagu ini memang sangat menarik. Daripada idea yang sudah lama disimpan, akhirnya kami dapat duduk bersama, berkarya dan menghasilkan sesuatu yang kami percaya mempunyai mesej.
“Apabila akhirnya kami menang, ia terasa seperti kemuncak kepada perjalanan itu. Memang rasa macam, ‘Wow’. Kami bermula dengan idea untuk menyatukan orang, kemudian lagu itu pula mendapat pengiktirafan. Bagi saya, itu satu pengalaman yang sangat bermakna,” katanya.











