Selepas 18 tahun mengharungi perjalanan sebagai anak seni, penyanyi Mimi Fly akhirnya menikmati antara detik paling manis dalam kariernya apabila membawa pulang lima kemenangan pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) yang berlangsung di Kuching, Sarawak, Sabtu lalu.
Pencapaian itu hadir selepas bertahun-tahun Mimi berdepan pelbagai pandangan dan keraguan terhadap keupayaannya untuk terus bertahan dalam industri muzik, termasuk tanggapan bahawa faktor usia menyebabkan dirinya sudah tidak lagi relevan.
Namun, kejayaan di pentas AIM25 seakan-akan menjadi jawapan paling bermakna buat Mimi bahawa perjalanan seni tidak semestinya mengikut garis masa yang ditetapkan orang lain.
Bagi Mimi, dia tidak berkarya semata-mata untuk mengejar anugerah atau membuktikan sesuatu kepada sesiapa, sebaliknya kerana berkarya itu sudah menjadi sebahagian daripada dirinya.
“Ini bukan soal saya tidak mahu pencapaian atau kegagalan membuatkan saya berhenti berkarya, sebab saya berkarya kerana saya memang mahu berkarya. Jadi, saya tidak kisah sama ada menang atau tidak, saya masih ada banyak lagi karya yang saya mahu susun.
“Tetapi saya sangat-sangat bersyukur kerana AIM mengiktiraf saya dan hasil kerja ini. Dengan pengiktirafan ini, saya mendapat lebih banyak peluang untuk berkarya dan untuk itu saya sangat-sangat bersyukur.
“Saya membuat kemunculan semula pada penghujung 2024 selepas empat tahun saya diam dan langsung tidak berkarya. Saya sangat-sangat tertekan sepanjang empat tahun itu kerana merasakan telah kehilangan diri sendiri apabila tidak berkarya. Jadi, apabila saya mula kembali dengan lagu Angkat dan lagu itu pula memenangi AIM24, saya rasa sangat gembira dan sangat berterima kasih. Saya sedar inilah jalan yang saya pilih,”katanya.

Kemunculan semula itu juga membawa Mimi kepada satu fasa baharu apabila dia memilih untuk bergerak sebagai artis indie tanpa bernaung di bawah label rakaman.
Katanya, pasukan kecil yang berada di belakangnya menjadi antara kekuatan terbesar yang membuatkan dia terus percaya terhadap perjalanan seni yang dipilih.
Dalam pada itu, di sebalik kegembiraan yang dirasai di pentas AIM25, Mimi tidak menafikan terdapat perjalanan panjang yang penuh dengan air mata, kekecewaan dan penolakan sebelum sampai ke tahap itu.
Malah, ada ketika dia sendiri hampir mempercayai kata-kata mereka yang menganggap dirinya sudah terlalu berusia untuk kembali mencipta nama dalam industri muzik.
“Saya cuma meluahkan apa yang saya rasa dan menyampaikannya melalui karya saya. Biarlah orang lain merasakan apa yang saya rasa. Saya cuma rasa sangat gembira dan saya sendiri tidak sangka saya boleh merasakan kegembiraan seperti itu.
“ Ini kerana terlalu banyak kali saya menghasilkan sesuatu, meminta peluang dan akhirnya ia tidak menjadi. Terlalu banyak tahun apabila saya menghasilkan sesuatu, orang tidak percaya kepada saya.
“Apabila orang mengatakan saya sudah terlalu tua untuk berada dalam industri, apabila orang mengatakan zaman kemuncak saya sudah berakhir, apabila saya memberikan karya, mereka masih tidak percaya dengan karya saya.
“Mereka kata saya sudah tidak relevan. Itu yang selalu saya dengar. Kata mereka saya tidak mampu menghasilkan atau mengembangkan karya saya. Saya juga pernah meminta bantuan orang untuk membawa karya saya keluar, tetapi akhirnya saya terpaksa melakukannya sendiri,”ujarnya.
Bagi Mimi, lima kemenangan yang diraih di AIM25 bukan sekadar trofi untuk diletakkan di rak, tetapi menjadi simbol kepada sebuah perjalanan panjang yang pernah membuatkannya hampir berputus asa.

Lebih penting, dia mahu kejayaan itu menjadi peringatan kepada dirinya sendiri bahawa kepercayaan terhadap kemampuan diri perlu dipertahankan walaupun terdapat suara-suara yang cuba mematahkan semangat.
Mimi juga tidak mahu melihat dirinya berada dalam perlumbaan untuk menjadi yang terbaik kerana baginya, identiti sebagai seorang anak seni jauh lebih penting.
“Saya masih Mimi. Bagi saya, saya tidak mahu menjadi yang terbaik, saya mahu menjadi satu-satunya. Saya mahu menjadi seorang anak seni yang berbeza daripada yang lain. Bukan untuk mencari siapa yang terbaik dalam kalangan kita sebagai anak-anak seni, tetapi saya cuma mahu menjadi satu-satunya yang membawa apa yang saya bawa.
“Saya rasa perkara itu juga boleh membuka mata anak-anak seni muda bahawa kalau kita percaya dengan apa yang kita mahu bawakan sebagai seorang anak seni, kita tidak perlu terlalu memikirkan apa yang orang lain katakan. Kita yang perlu percaya kepada diri sendiri,” katanya.
Mimi turut mengakui, sepanjang 18 tahun dalam industri, kata-kata negatif yang diterimanya berulang kali pernah memberi kesan terhadap keyakinan dirinya.
Katanya, apabila seseorang terlalu lama mendengar bahawa dirinya tidak mampu atau tidak layak, kata-kata itu akhirnya boleh mempengaruhi cara seseorang melihat dirinya sendiri.
“Sepanjang 18 tahun ini, terlalu ramai orang mengatakan saya tidak mampu dan saya tidak boleh. Kadang-kadang perkara itu sampai kepada kita dan kita mula percaya bahawa kita tidak layak atau tidak mampu melakukannya.
“Bertahun-tahun kita rasa begitu dan ia memberi kesan kepada kehidupan kita, sehinggalah kita bangun semula dan mengambil kembali peluang untuk mencuba lagi, lagi dan lagi. Saya sangat-sangat bersyukur kerana saya tidak berputus asa.
“Saya juga mempunyai sistem sokongan yang baik dan saya sangat percaya kepada doa mama kerana dia melihat bagaimana saya bekerja keras. Saya rasa berkat doa mama itulah yang membuatkan saya berada di sini sekarang,” katanya.
Menariknya, kebangkitan semula Mimi dalam muzik juga bermula ketika dia sendiri sudah hampir percaya bahawa perjalanan sebagai anak seni mungkin perlu dihentikan.
Pertemuannya dengan penerbit Bo Amir Iqram menjadi antara titik penting yang mengubah kembali pandangannya terhadap muzik.
“Sebenarnya, ketika saya mula kembali, saya sudah mula percaya bahawa saya tidak perlu membuat muzik lagi. Saya pun tidak bercerita dengan sesiapa tentang perkara itu sehinggalah saya bertemu dengan Bo Amir Iqram, penerbit saya.
“Apabila saya mendengar bunyi muzik yang dihasilkannya, saya rasa sangat terinspirasi. Apabila saya bertemu dengannya, saya terus meremang dan rasa seperti dia ialah pasangan yang sesuai untuk perjalanan muzik saya,” katanya.
Mimi berkata, pada ketika itu dia belum mempunyai pengurusan atau pasukan yang lengkap dan hanya mempunyai Bo Amir Iqram sebagai rakan untuk kembali menghasilkan karya.
Mereka kemudian menghabiskan sepanjang 2024 dengan keluar masuk studio, menghasilkan lagu tanpa meletakkan sebarang sasaran atau perancangan khusus untuk menerbitkannya.
“Sepanjang tahun itu kami hanya keluar masuk studio dan menghasilkan lagu. Kami tidak mempunyai rancangan pun untuk menerbitkan lagu atau apa-apa. Sehinggalah saya menghasilkan Angkat. Selepas saya selesai merakam Angkat, barulah saya terfikir bahawa kami patut menerbitkan karya itu.
“Jadi, bagi saya, antara orang pertama yang percaya kepada saya ialah penerbit saya, kemudian saya bertemu dengan pengurus saya, Syah, dan seterusnya seluruh pasukan yang saya ada sekarang. Pasukan saya kecil sahaja, tetapi sangat kukuh dan saya sangat bersyukur,” katanya.
Menerusi kemenangan di AIM25, Mimi telah meraih lima trofi dalam kategori Susunan Muzik Terbaik Dalam Sebuah Lagu menerusi Nara, Lagu Perayaan Terbaik dan Lagu Dengan Video Kreasi Terbanyak Di TikTok melalui Serumpun, selain Video Muzik Terbaik serta Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik menerusi Temberang.











