TEHERAN: Beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menolak pada Sabtu lalu tentang penyelesaian diplomatik yang dikemukakan Iran untuk membuka semula Selat Hormuz, bunyi letupan kedengaran di laluan perairan itu, menurut media Iran.
Laporan mengenai letupan berhampiran Pulau Qeshm di selatan Iran, Selat Hormuz, menunjukkan bahawa beberapa peluru berpandu dan dron mungkin telah dilancarkan ke arah kapal yang melalui laluan perairan itu sekali gus bertentangan dengan kehendak Teheran.
Walaupun pihak berkuasa Iran tidak mengesahkan sebarang serangan di Selat Hormuz pada hari berkenaan, kapal yang melalui perairan itu terus menjadi sasaran, termasuk sebuah kapal kargo India apabila seorang kelasinya maut pada 23 September lalu.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menegaskan bahawa selat itu ditutup kepada mana-mana kapal yang tidak berkoordinasi dengan pihak berkuasa Iran.
Pada petang Ahad, ia menyiarkan video yang didakwa menunjukkan sebuah lagi dron bawah laut AS dirampas tetapi dinafikan Washington.
Teheran mengarahkan syarikat perkapalan yang melalui Selat Hormuz menggunakan laluan sementara yang diluluskan pihak berkuasa Iran dan membayar yuran berkaitan.
Namun, Iran turut menyatakan selat itu tidak akan dibuka sepenuhnya sehingga sekatan AS terhadap pelabuhan Iran ditamatkan.
Pihak Berkuasa Selat Teluk Parsi Iran pada Sabtu mengumumkan bahawa mana-mana syarikat penyewa kapal yang mengarahkan anak kapal menggunakan laluan yang dianggap tidak dibenarkan akan disenarai hitam.
Ia turut menerbitkan apa dianggapnya sebagai permohonan maaf daripada pemilik sebuah kapal tetapi tidak mendedahkan nama, yang menyalahkan tekanan komersial daripada syarikat penyewanya kerana cuba melalui selat berkenaan.
Namun, Washington masih bertegas bahawa kapal perangnya berjaya mengiringi sejumlah kapal tangki minyak keluar dari selat itu melalui laluan berbeza.
Kemas kini operasi pada 19 September oleh Markas Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) mendakwa bahawa pasukannya membantu mengeluarkan lebih satu bilion tong minyak mentah dari Teluk dalam tempoh kira-kira dua bulan.
Tentera AS turut berkata, pasukannya telah mengalihkan 122 kapal komersial bagi menguatkuasakan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran, sekali gus menghentikan semua eksport minyak mentah Teheran.
Bagaimanapun, Teheran mendakwa AS memberikan maklumat palsu berhubung pergerakan kapal di Selat Hormuz bagi menggambarkan seolah-olah Washington dan bukan Iran yang menguasai laluan laut strategik itu.
Aktiviti perkapalan turut terjejas teruk sejak AS dan Israel memulakan perang terhadap Iran pada 28 Februari.
Setakat ini, tiada penyelesaian konkrit dicapai bagi membolehkan situasi normal berlaku di Selat Homuz seperti sebelum perang Iran berlaku selepas kedua-dua negara saling menolak cadangan damai.











