Hamzah tetap lima keutamaan PDRM Perlis - Utusan Malaysia

Hamzah tetap lima keutamaan PDRM Perlis

HAMZAH Hashim (kanan) menerima tongkat kuasa pada Majlis Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perlis akan diterapkan dengan lima keutamaan bagi memperkukuh keupayaan pasukan dalam menghadapi landskap keselamatan yang semakin kompleks dan dinamik.

Ketua Polis negeri yang baharu, Deputi Komisioner Polis (DCP) Hamzah Hashim, 55, berkata, antara keutamaan yang akan diberikan perhatian adalah memperkukuhkan keselamatan dan ketenteraman awam di samping memperkasa kesiapsiagaan serta keupayaan pasukan.

Beliau berkata, selain itu, PDRM Perlis juga akan memperkukuh intergriti dan profesionalisme termasuk memperkasa kepercayaan masyarakat, modal insan, teknologi serta inovasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tidak mahu kita bekerja secara sendirian atau ‘silos’ mengikut pendekatan masing-masing. Saya mahu seluruh warga kontinjen Perlis saling bekerjasama sebagai satu pasukan dengan berlandaskan semangat Espirit De Corps yang kukuh,” katanya pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis negeri di IPK Perlis, hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail.

Sebagai rekod, Hamzah memulakan perkhidmatan dalam PDRM pada 1 Oktober 1994 dan merupakan Komander 69 Komando Pasukan Gerakan Khas (PGK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) di Ulu Kinta, Perak.

Beliau juga berkelulusan Sarjana Muda Pengurusan Sains Politik, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Diploma Business Studies, Business Administration And Commerce Analisa Ekonomi Dan Kewangan Institut Teknologi Mara (ITM) cawangan Perlis.

Sementara itu, Mohd Khalid berkata, peralihan jawatan itu adalah merupakan manifestasi kesinambungan legasi kepimpinan terdahulu yang bertujuan memperkasakan jentera pentadbiran keselamatan di negeri ini demi kesejahteraan dan kedaulatan negara.

Menurutnya, pengalaman luas Hamzah selama hampir 32 tahun dalam pelbagai jawatan strategik dilihat mampu meneruskan legasi kecemerlangan sedia ada termasuk melibatkan urus tadbir kepolisan di kontinjen Perlis dengan lebih mampan, efisien dan berintegriti.

“Walaupun Perlis merupakan sebuah negeri yang berkeluasan kecil dengan populasi penduduk lebih 297,000 orang, namun kedudukan geografinya yang terletak di jalur sempadan Malaysia-Thailand menuntut tahap kewaspadaan keselamatan yang sangat tinggi.

“Saya yakin, dengan prinsip alah bisa tegal biasa, segala cabaran yang mendatang akan dapat dihadapi dengan sebaiknya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini