Ada yang masih keliru dengan sejarah negara

Ada yang masih keliru dengan sejarah negara

PENGIKTIRAFAN terhadap sejarah ini penting bagi membina rasa bangga, kekitaan dan penghormatan yang lebih kukuh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP Ogos dan September, Jalur Gemilang mula berkibar di serata tempat, mencerminkan semangat patriotisme yang terus subur dalam kalangan rakyat.

Namun, di sebalik kemeriahan sambutan dan laungan merdeka, masih wujud kekeliruan tentang beberapa tarikh penting dalam sejarah pembentukan negara.

Antaranya, adakah Hari Kebangsaan sama dengan Hari Malaysia? Mengapa pula Sabah dan Sarawak mempunyai tarikh penting berkaitan pembentukan Malaysia?

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi sesetengah pihak, persoalan ini mungkin dianggap remeh. Namun, ketepatan sejarah penting kerana ia menjadi asas kepada pembentukan identiti sesebuah bangsa.

Pembentukan Malaysia merupakan hasil perjuangan, pengorbanan dan penyatuan pelbagai wilayah.

Selepas lebih enam dekad, naratif tentang penyertaan Sabah dan Sarawak masih perlu difahami dengan tepat agar tidak menimbulkan persepsi peminggiran atau menjejaskan hubungan antara Semenanjung dengan Borneo.

Langkah pertama ialah memahami garis masa pembentukan negara. 31 Ogos 1957 merupakan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu daripada British.

Sabah dan Sarawak pula mempunyai sejarah pentadbiran serta perkembangan politik masing-masing sebelum pembentukan Malaysia.

Sarawak mencapai pemerintahan sendiri pada 22 Julai 1963, manakala Sabah memperoleh pemerintahan sendiri pada 31 Ogos tahun yang sama.

Kemudiannya, pada 16 September 1963, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung membentuk Persekutuan Malaysia.

Justeru, Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September membawa makna sejarah yang berbeza.

Memahami perbezaan ini bukan sekadar menghafal tarikh tetapi menghargai perjalanan setiap wilayah dalam pembentukan negara.

Kefahaman yang tepat juga membolehkan naratif tentang Sabah dan Sarawak dilihat sebagai wilayah yang bersama-sama membentuk Malaysia, bukan sekadar menyertai sebuah negara yang telah sedia terbentuk.

Pengiktirafan terhadap sejarah ini penting bagi membina rasa bangga, kekitaan dan penghormatan yang lebih kukuh.

Gagasan Bangsa Malaysia pula tidak bermaksud menghapuskan identiti kaum, budaya atau agama.

Sebaliknya, ia membina rasa kebersamaan dengan meletakkan identiti nasional sebagai asas bersama, tanpa menafikan kepelbagaian yang menjadi kekuatan negara.

Seorang anak muda di Semenanjung perlu memahami perjuangan dan kehidupan rakyat di Borneo, sebagaimana masyarakat Sabah dan Sarawak turut berkongsi aspirasi yang sama sebagai warga Malaysia.

Kita tidak seharusnya terus bertelagah tentang siapa yang lebih berhak, sebaliknya bersama-sama menyumbang kepada kemajuan negara.

Generasi hari ini bertanggungjawab mewariskan naratif sejarah yang tepat. Biarlah 31 Ogos diraikan sebagai lambang kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, manakala 16 September disemarakkan sebagai detik pembentukan Malaysia.

Dengan sejarah yang difahami dan kepelbagaian yang dihormati, gagasan Bangsa Malaysia dapat dibina atas asas yang lebih kukuh. – UTUSAN

DR. YUSRY SULAIMAN
Unit Kenegaraan & Sejarah Malaysia,
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah,
Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×