PETALING JAYA: Skuad sepak takraw negara bangkit daripada ketinggalan selepas tewas set pertama sebelum menundukkan Filipina 2-1 dalam aksi separuh akhir acara regu Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, sebentar tadi.
Malaysia yang dibarisi Muhammad Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi gagal mengawal permainan pada set pertama apabila Filipina mencuri kemenangan 15-10.
Bagaimanapun, kemasukan Mohammad Syahir Mohd Rosdi dan Mohamad Azlan Alias mengubah rentak permainan apabila kedua-duanya membawa tenaga baharu untuk membantu Malaysia menguasai set kedua dan mengikat kedudukan menerusi kemenangan 15-11.
Momentum itu terus dipertahankan pada set penentuan apabila regu negara tampil lebih kemas dan agresif untuk menutup perlawanan dengan kemenangan 15-7.
Kebangkitan itu memastikan Malaysia menempah tiket ke final bertemu Thailand, sekali gus dalam usaha memburu pingat emas kedua dalam sepak takraw selepas berjaya meraih emas dalam acara berpasukan sebelum ini.-UTUSAN











