Lebih daripada seorang isteri Perdana Menteri

Lebih daripada seorang isteri Perdana Menteri

PENGALAMANNYA dalam bidang perubatan memberikan kelebihan besar kepadanya untuk berkhidmat dan berbakti lebih daripada sebagai seorang isteri Perdana Menteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SEBAGAI isteri Perdana Menteri, saya perlu beri sokongan kepada suami saya, perlu mempunyai pengetahuan luas, ambil tahu dengan apa yang berlaku di sekeliling saya, serta memastikan yang saya berada di sisi suami saya apabila bertemu dengan rakyat. Bila orang tanya saya apa yang diperlukan untuk memikul peranan sebagai isteri Perdana Menteri, saya sering menekankan betapa pentingnya sikap merendah diri. Tidak kira sama ada seseorang itu seorang doktor, menteri, mahupun isteri menteri; jika kita memiliki sifat rendah diri, rakyat akan menerima kita.”

Itu kata-kata Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dalam buku biografinya berjudul Nama Saya Hasmah yang diterbitkan 10 tahun lalu, sempena ulang tahun hari jadinya yang ke-90 ketika itu.

Kata-katanya itu sebenarnya memberikan gambaran terhadap imejnya selama ini, kerana sepanjang hidupnya, allahyarhamah sememangnya seorang yang sangat rendah diri, malah tidak ramai yang benar-benar tahu tentang latar belakang dan peribadinya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Disebabkan itu, allahyarhamah lebih dikenali sebagai isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sejak suaminya memegang jawatan tersebut pada 1981.

Namun, beliau sebenarnya lebih daripada sekadar seorang isteri Perdana Menteri. Latar belakangnya dalam bidang perubatan sendiri telah membuktikannya.

Beliau mula menceburi bidang tersebut apabila menyertai kursus perubatan di King Edward VII College of Medicine di Singapura selepas Perang Dunia Kedua. Ketika itu, beliau satu-satunya pelajar Melayu wanita yang mengikuti kursus tersebut.

Selepas itu, beliau meneruskan pengajian di Fakulti Perubatan di Universiti Malaya di Singapura. Pada 1955, di usia 29 tahun, beliau mula berkhidmat di wad pediatrik Hospital Kuala Lumpur.

Sepuluh tahun kemudian, beliau dilantik sebagai pegawai perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak di Jitra, Kedah dan kemudian menjadi wanita pertama berkhidmat sebagai pegawai kesihatan ibu dan anak negeri itu pada 1974.

Selepas bersara daripada karier perubatan pada 1979 di usia 53 tahun, Siti Hasmah berbakti sebagai pensyarah separuh masa di Fakulti Pergigian di Universiti Malaya sehingga 1981 apabila suaminya mula berkhidmat sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Sejak itu, beliau menggunakan pengalamannya sebagai doktor dan khidmatnya dalam bidang perubatan selama ini untuk menyentuh isu-isu yang lebih besar dan lebih meluas seperti isu kesihatan wanita, perancangan keluarga dan penyalahgunaan dadah.

Ini boleh dilihat dengan jelas apabila beliau aktif berkhidmat dalam pelbagai persatuan sepanjang bergelar sebagai isteri Perdana Menteri, antaranya Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia; Pengerusi Persatuan Perancangan Keluarga Kedah; Presiden Yayasan Persatuan Perubatan Malaysia; Presiden Persatuan Pemulihan Kanak-kanak Kurang Upaya; Naib Presiden Persekutuan Persatuan Perancangan Keluarga Malaysia; Penaung Persatuan Kesihatan Ibu Malaysia dan Penanung Persatuan Pediatrik Malaysia. Beliau juga cukup aktif ketika berkhidmat sebagai Yang Dipertua BAKTI (Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri).

Ketika isu penyalahgunaan dadah menjadi isu yang sangat serius di seluruh dunia sekitar 1980an sehingga kempen perangi dadah dilancarkan di serata dunia, Siti Hasmah turut memainkan peranannya dengan menghadiri Persidangan Wanita Pertama mengenai penyalahgunaan dadah (First Ladies Conference on Drug Abuse) di Washington, Amerika Syarikat (AS) atas jemputan Wanita Pertama AS, Nancy Reagan pada 1985 yang popular dengan kempen Just Say No terhadap penyalahgunaan dadah ketika itu. Beliau juga mewakili Malaysia di persidangan antarabangsa mengenai penyalahgunaan dadah dan pemerdagangan haram di Vienna, Austria pada 1987.

Allahyarhamah juga aktif dalam memperjuangkan nasib wanita di luar bandar. Pada 1992, atas jemputan Ratu Fabiola, raja permaisuri dari Belgium, beliau menghadiri Sidang Kemuncak Wanita Pertama bagi Kemajuan Ekonomi Wanita Luar Bandar di Geneva, Switzerland.

Dalam sidang itu, beliau menyokong Deklarasi Geneva mengenai Wanita Luar Bandar, iaitu satu instrumen untuk merangka dasar dan program bagi meningkatkan kemajuan ekonomi serta kesejahteraan wanita luar bandar dan keluarga mereka.

Di sidang kemuncak tersebut juga, Siti Hasmah menyatakan, “Dengan pendidikan dan latihan yang sewajarnya, wanita luar bandar mampu membantu melahirkan anak-anak yang celik huruf dan produktif, yang seterusnya dapat menyumbang secara positif kepada pertumbuhan dan kemakmuran negara.”

Siti Hasmah juga mempunyai minat mendalam dalam bidang kesihatan mental.

Beliau sendiri dijemput oleh bekas Wanita Pertama AS, Rosalynn Carter untuk menganggotai Jawatankuasa Kebangsaan Persekutuan Kesihatan Mental Sedunia.

Semua ini dilakukan oleh beliau sebelum dan selepas bergelar sebagai isteri Perdana Menteri serta menjadi ibu kepada tujuh orang anaknya.

Pengalamannya dalam bidang perubatan memberikan kelebihan besar kepadanya untuk berkhidmat dan berbakti lebih daripada sebagai seorang isteri Perdana Menteri.

Ini secara tidak langsung memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk mencontohi khidmat bakti dan sumbangan beliau kepada negara hingga akhir hayatnya.

Al-Fatihah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×