Permohonan rayuan haji bermula 2 Oktober ini

Permohonan rayuan haji bermula 2 Oktober ini

LEMBAGA Tabung Haji (TH) akan membuka permohonan rayuan untuk mengerjakan ibadah haji bagi musim 1448H/2027M melalui aplikasi dan laman sesawang THiJARI bermula 2 Oktober ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) akan membuka permohonan rayuan untuk mengerjakan ibadah haji bagi musim 1448H/2027M melalui aplikasi dan laman sesawang THiJARI bermula 2 Oktober ini, lebih awal berbanding musim haji lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, proses pembukaan rayuan yang lebih awal ini dapat memberikan ruang kepada bakal jemaah untuk membuat persediaan dari aspek kewangan, kesihatan dan ilmu sewajarnya selari dengan pembudayaan konsep istito’ah (kemampuan).

Seperti tahun-tahun sebelumnya, beliau berkata, keutamaan akan diberikan kepada permohonan rayuan mahram, pengiring jemaah lanjut usia dan pengiring bagi jemaah kelainan upaya (OKU) yang terpilih menunaikan haji.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kadar bayaran haji ditetapkan bagi jemaah yang berjaya dalam permohonan rayuan mahram atau pengiring adalah bersamaan kadar ditetapkan kepada penerima tawaran haji giliran semasa diiringi pemohon rayuan, iaitu mengikut kumpulan B40, M40 atau T20.

“Kadar bayaran haji yang ditetapkan kepada jemaah haji terpilih melalui proses rayuan adalah kos haji penuh, iaitu RM33,300 bagi musim haji kali ini bertepatan konsep istito’ah dalam kewajipan menunaikan haji,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, permohonan rayuan terbuka kepada pendeposit yang mempunyai simpanan RM15,000 di dalam akaun TH masing-masing.

Katanya, kadar itu ditetapkan berdasarkan kadar bayaran haji terendah untuk kumpulan B40 dan ini menjadi rujukan TH bagi membuktikan seseorang pemohon itu memenuhi syarat minimum.

Mustakim berkata, TH sentiasa komited untuk membantu dalam setiap langkah para pendeposit merealisasi impian mereka menuju perjalanan teragung ini.

Katanya, pelbagai inisiatif dilaksanakan TH termasuk kempen #menujuistitoah dan pelan persediaan haji menyeluruh yang dikenali sebagai Seruan Istito’ah bagi membantu para pendeposit membuat persediaan secara realistik dan berstruktur supaya mereka dapat mencapai kemampuan melalui usaha yang berterusan sejak awal.

Bagi permohonan rayuan luar giliran tahun haji semasa, beliau berkata, TH telah memperkenalkan beberapa kriteria dan skor merit yang akan diambil kira dalam proses pertimbangan permohonan.

Antaranya adalah tempoh pendaftaran haji, umur, purata baki simpanan di dalam akaun TH, simpanan berulang yang konsisten, kekerapan permohonan rayuan serta kekerapan kehadiran kursus asas haji yang dikendalikan oleh TH.

TH juga ingin mengingatkan kepada bakal haji untuk melakukan persediaan sewajarnya dari aspek kesihatan kerana kelulusan permohonan adalah tertakluk kepada kelulusan ujian saringan kesihatan.

“Bakal haji turut dinasihatkan untuk mempersiapkan diri dengan ilmu ibadah haji yang secukupnya dengan menyertai Kursus Asas Haji anjuran TH di lebih 200 buah masjid seluruh negara, bermula sejak September lalu.

“Para pendeposit TH boleh mendapatkan maklumat proses membuat permohonan rayuan, menyemak kategori rayuan dan status permohonan melalui aplikasi THiJARI atau melayari www.thijari.com.my

“Maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, boleh melayari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×