SERI KEMBANGAN: Pemergian Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali merupakan kehilangan besar kepada negara kerana banyak menabur jasa terutama kepada golongan wanita dan ahli Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau turut merasai kehilangan Allahyarhamah yang sekian lama berkhidmat kepada masyarakat.
“Kami merasakan kehilangan teramat sangat kerana Allahyarhamah telah banyak menabur jasa terutama di kalangan wanita dan ahli-ahli Bakti.
“Isteri saya baru berjumpa dengan Allahyarhamah di rumah ini (kediaman Dr. Siti Hasmah), Isnin minggu lalu. Mereka bercerita kisah-kisah lama.
“Kata-kata terakhir beliau yang diceritakan oleh isteri saya, beliau banyak bercerita tentang Tuhan, tentang alam barzakh, tentang padang mahsyar seolah-olah beliau mengetahui yang beliau akan pergi selama-lamanya,” katanya ketika ditemui pemberita kediaman Allahyarhamah di Mines Resort City, di sini hari ini.
Ahmad Zahid turut mendoakan agar keluarga Allahyarhamah diberi kekuatan menghadapi kehilangan itu.
“Kami berdoa agar keluarga beliau kuat dan beliau ditempatkan di sisi hamba-hamba yang beriman, Insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, Dr. Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 9.20 pagi tadi.-UTUSAN











