KKM perkukuh pencegahan bunuh diri menerusi NSFIRM - Utusan Malaysia

KKM perkukuh pencegahan bunuh diri menerusi NSFIRM

DATUK Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (tiga dari kiri) menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Kolej Poly-Tech Mara Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kementerian Kesihatan (KKM) terus memperkukuh usaha pencegahan tingkah laku bunuh diri menerusi pelancaran Sistem Registri Bunuh Diri dan Kematian Fatal Kebangsaan (NSFIRM) serta Garis Panduan Pelaksanaan Perkhidmatan Postvention.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, NSFIRM diwujudkan bagi memperkukuh pengumpulan data forensik berkaitan kematian akibat bunuh diri serta kematian disebabkan kecederaan.

Katanya, sistem berkenaan dibangunkan dengan penglibatan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) dan Jabatan Forensik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“NSFIRM dibangunkan bagi membekalkan data penting berkaitan kecederaan maut, sama ada membabitkan kes bunuh diri atau sebaliknya, termasuk kemalangan kenderaan bermotor serta kes-kes lain.

“Pengumpulan data ini akan memudahkan analisis dan pemantauan trend kejadian secara lebih sistematik, sekali gus membolehkan maklumat yang tepat digunakan untuk merancang dasar, program dan perkhidmatan yang lebih bersasar mengikut keperluan sebenar di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Kolej Poly-Tech Mara Ipoh, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, garis panduan berkenaan merupakan inisiatif kedua yang bertujuan memastikan individu yang terkesan susulan kejadian kematian akibat bunuh diri mendapat sokongan psikososial dan intervensi bersesuaian.

Katanya, sokongan berkenaan penting bagi membantu proses pemulihan individu terkesan selain mengurangkan risiko berlakunya tingkah laku bunuh diri berulang atau ‘copycat suicide’.

“Dengan adanya garis panduan ini, pelaksanaan perkhidmatan postvention dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun, sistematik dan bersepadu.

“KKM berperanan sebagai pasukan bantuan postvention menerusi Pasukan Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial (MHPSS) di lapangan dengan memberikan sokongan kepakaran kesihatan mental dan psikososial kepada agensi serta komuniti yang terkesan,” katanya.

Beliau berkata, KKM turut melaksanakan latihan dan pembangunan kapasiti bagi memperkukuh keupayaan agensi berkaitan, termasuk dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan lain.

“Kedua-dua inisiatif ini saling melengkapi dan menandakan langkah penting dalam memperkukuh sistem sokongan dan tindak balas negara terhadap usaha pencegahan tingkah laku bunuh diri,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Dzulkefly berkata, data polis menunjukkan sebanyak 1,079 kes bunuh diri direkodkan pada 2025, berbanding 1,114 kes pada 2024.

Katanya, walaupun jumlah itu menunjukkan sedikit penurunan, angka berkenaan masih tinggi dan memerlukan komitmen semua pihak menerusi pendekatan ‘whole-of-government dan whole-of-society’.

“Susulan usaha meningkatkan kesedaran ini, KKM melalui Program Malaysian Suicide Awareness Voice of Hope (MySAVE) terus memperkukuh usaha pencegahan secara menyeluruh.

“Kita mahu memastikan apabila seseorang berada dalam krisis, bantuan lebih mudah dicapai, petugas lebih bersedia, maklumat yang diperoleh lebih tepat dan sokongan dapat diteruskan walaupun selepas sesuatu kejadian berlaku,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×