Permohonan beku aset milik Rosmah ditetapkan 7 Januari

Permohonan beku aset milik Rosmah ditetapkan 7 Januari

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk membekukan aset (injunksi Mareva) milik Datin Seri Rosmah Mansor yang dianggarkan melebihi RM1 bilion (AS$346 juta) akan didengar di Mahkamah Tinggi pada 7 Januari 2027.

Pada tarikh tersebut, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Muhammad Adam@Edward Abdullah akan membuat keputusan terhadap permohonan itu.

Tarikh tersebut ditetapkan pada prosiding pengurusan kes yang dihadiri peguam Rosmah, Sheena Stephanie Sebastian dan peguam 1MDB, Henna Nikita Sanghvi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perintah Mareva ialah perintah mahkamah yang pada dasarnya membekukan aset defendan untuk menghalang sebarang pemindahan aset yang plaintif ingin dapatkan semula, sehingga pelupusan atau penentuan saman utama.

Permohonan itu difailkan pada 10 Jun 2024 di mana syarikat-syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan dan sembilan plaintif lain memohon injunksi bagi menghalang Rosmah daripada melupuskan aset bernilai AS$346.01 juta, sama ada dalam bentuk kredit, saham syarikat, hartanah atau lain-lain.

Pada ketika ini, suami Rosmah, Datuk Seri Najib Tun Razak turut dikenakan perintah injunksi Mareva yang difailkan oleh 1MDB dan SRC International Sdn. Bhd.

Selain pembekuan aset, 1MDB dan lima anak syarikatnya antara lain memohon perintah agar Rosmah tidak boleh membawa keluar atau melupuskan atau mengurangkan nilai asetnya berjumlah AS$346.01 juta, sama ada dalam bentuk kredit, saham syarikat, harta tanah atau lain-lain yang berada di dalam atau luar negara.

Lima anak syarikat itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited dan SRC International.

Selain itu, entiti-entiti pesisir luar yang turut menjadi plaintif ialah Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Hol­dings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.

“Defendan pertama (Rosmah) berhak untuk mengeluarkan dan membelanjakan daripada satu akaun bank atau sumber yang lain tidak melebihi RM10,000 sebulan atau apa-apa jumlah lain yang diperintahkan oleh Mahkamah, yang diperlukan oleh defendan pertama bagi perbelanjaan sara hidup biasanya dan nasihat dan perwakilan undang-undangnya,” kata permohonan tersebut.

Selain injunksi Mareva, syarikat-syarikat berkenaan turut memohon injunksi proprietari bagi menghalang Rosmah daripada memindahkan, melupuskan atau menguruskan barangan tersebut sehingga pelupusan penuh kes berkenaan.

Permohonan injunksi Mareva itu dimohon berkait dengan kes saman 1MDB, anak-anak syarikat itu dan entiti pesisir luar terhadap Rosmah berhubung pembelian barangan mewah antaranya barang kemas dan beg tangan berjumlah AS$346 juta yang dikatakan dibeli menggunakan wang diseleweng daripada syarikat berkenaan.

Saman tersebut pada asalnya difailkan terhadap Rosmah sebagai defendan pertama dan warga Singapura, Shabnam Naraindas Daswani sebagai defendan kedua. Namun, pada April 2025 plaintif telah menarik balik saman terhadap Shabnam.

Laporan media sebelum ini menyatakan Shabnam merupakan seorang pereka fesyen dan se­ring membantu Rosmah dalam mendapatkan barang kemas dan fesyen berkualiti tinggi.

Menurut writ yang difailkan, kesemua plaintif mendakwa kesemua barangan mewah tersebut telah diperoleh Rosmah bukan dengan menggunakan wangnya sendiri tetapi dengan menggunakan dana yang diseleweng daripada 1MDB dan anak-anak syarikatnya.

Oleh itu, 1MDB dan anak-anak syarikatnya memohon agar Rosmah membayar AS$346,010,489 atau satu jumlah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×