KUALA LUMPUR: Kebebasan pengamal media merupakan salah satu keutamaan mutlak dalam Rang Undang-undang (RUU) Kebebasan Maklumat yang sedang dirangka
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penggubalan sebarang undang-undang baharu tidak boleh bersifat mengekang atau menyukarkan tugas wartawan yang menjadi tunjang kepada ketelusan maklumat dalam sebuah negara demokrasi.
“Saya sangat-sangat prihatin tentang media.
“Bagi saya, sebahagian daripada demokrasi sesebuah negara ialah mempunyai kebebasan media dan keupayaan penuh untuk mereka melakukan kerja,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sesi Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) RUU Kebebasan Maklumat di Parlimen di sini hari ini.
Azalina berkata, kefahaman terhadap maklumat yang telus adalah selari dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan bersuara.
Jelasnya, hak bersuara tidak akan membawa apa-apa makna jika rakyat mahupun media dinafikan akses asas kepada maklumat yang sahih.
“Tiada guna bercakap tentang kebebasan bersuara di bawah Perkara 10 jika anda tidak mempunyai maklumat untuk diperkatakan.
“Jika anda tidak bersuara, apa yang mahu disampaikan?,” soalnya.
Mengulas mengenai proses penggubalan, Azalina berkata, JKPK mengambil maklum pelbagai kelemahan ketara yang terdapat dalam draf sedia ada hasil maklum balas menyeluruh daripada rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, JKPK komited memperhalusi draf melalui beberapa siri mesyuarat lanjut sebelum ketetapan muktamad dibawa ke Parlimen.-UTUSAN











