PETALING JAYA: Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengenang Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai insan yang mengajarnya membawa diri dengan penuh maruah dan profesionalisme.
Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, kebijaksanaan Allahyarham, selain sifatnya yang mesra dan menyenangkan, menjadikan beliau seorang tokoh yang sangat disayangi.
“Saya sangat menghormati Allahyarham Tun Siti. Beliau mengajar saya bagaimana membawa diri dengan penuh maruah dan profesionalisme yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wan Azizah, Siti Hasmah membuktikan kekuatan seorang wanita tidak semestinya ditunjukkan melalui suara yang lantang, sebaliknya dapat dilihat melalui kesabaran, kebijaksanaan, kelembutan dan keteguhan dalam membawa diri.
Beliau turut menyifatkan pemergian Siti Hasmah sebagai kehilangan besar buat negara, selepas Allahyarham mengabdikan hidupnya kepada kesejahteraan awam dan kesihatan masyarakat.
“Allahyarham juga merupakan ikon pemerkasaan serta kepimpinan wanita dan antara perintis doktor wanita pertama.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga serta mendoakan agar mereka diberikan ketabahan menghadapi kehilangan ini,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar Allah SWT merahmati Allahyarham Siti Hasmah, mengampunkan dosanya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.
Terdahulu, Dr. Siti Hasmah disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 9.20 pagi tadi. - UTUSAN










