KOTA TINGGI: Seorang penebar roti canai didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di sebuah sungai di Sedili Besar, di sini minggu lalu.
Tertuduh, Abadi Mohd. Yasro, 37, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nur Najihah Hamidi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa telah membunuh Putri Nur Affiya Qhalhesya Sahrul di sebuah sungai di Sedili Besar, di sini kira-kira pukul 8.20 pagi, 21 September lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nuraini Mohd. Shapee memohon tertuduh dirujuk ke Hospital Permai kerana lelaki itu dipercayai mempunyai masalah mental.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 26 November untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan tarikh pemeriksaan kesihatan di Hospital Permai Johor Bahru dan laporan bedah siasat.
Tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 21 September lalu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman dilaporkan berkata, seorang kanak-kanak perempuan maut selepas dicampak oleh bapa saudaranya ke dalam sebuah sungai.
“Polis terima laporan berkenaan kejadian seorang lelaki tempatan telah mengamuk dengan bersenjatakan parang dan mengejar seorang lelaki berusia 40 tahun.
“Sebelum itu, suspek dipercayai telah mencampak seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ke dalam sungai sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak tersebut,” katanya.-UTUSAN










