Mahkamah Tinggi kekalkan hukuman penjara Ismanira

Mahkamah Tinggi kekalkan hukuman penjara Ismanira

Penjara Ismanira
ISMANIRA Abdul Manaf dibawa ke Mahkamah Tinggi bagi mendengar keputusan rayuannya bagi mengenepikan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan ke atasnya, di Shah Alam, hari ini. - UTUSAN / SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Rayuan ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf untuk mengenepikan hukuman penjara lima tahun ke atasnya ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Mahkamah sama dalam prosiding hari ini turut menolak rayuan pihak pendakwaan sebagai rayuan silang jenayah terhadap hukuman yang dijatuhkan.

Hakim Noor Hisham Ismail memutuskan perkara itu selepas mendapati Hakim Mahkamah Sesyen pada 31 Oktober tahun lalu tidak melakukan sebarang kekhilafan fakta atau undang-undang dalam keputusannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, dapatan Hakim Mahkamah Sesyen bahawa pembelaan tidak menimbulkan keraguan munasabah tidak jelas salah.

“Mahkamah rayuan hanya campur tangan jika hukuman jelas tidak atau jelas berlebihan atau terdapat kekhilafan prinsip. Hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan itu bukanlah sesuatu yang tidak memadai atau jelas berlebihan,” katanya.

Tambah beliau, pertuduhan menyatakan dengan jelas mengenai setiap elemen bagi kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Cara pengabaian dilakukan juga dibutirkan yang mana tertuduh tidak mungkin akan terkeliru, maka tiada kegagalan keadilan disitu. Tafisiran ‘mengabaikan’ sebagai perkataan bersifat luas tidak semestinya kabur.

“Elemen ‘mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal’ menerangkan sifat pengabaian, bukan akibat. Pendekatan tersebut tidak menjejaskan sabitan,” ujarnya.

Ismanira diwakili peguam Haresh Mahadevan, Tiara Katirina Fuad, Lavanesh Mahadevan dan Haijan Omar dalam prosiding, hari ini.

Pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Kamarul Iman Ahmad Sapian, Aqharie Durranie Aziz dan Ahmad Iqbal Azman.

Pada Januari lalu, Ismanira memfailkan petisyen rayuan menerusi Tetuan Haresh Mahadevan & Co selepas tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Pada 31 Oktober tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Dr Syaliza Warnoh, menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah, manakala pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh sabitan.

Selain itu, Ismanira dikehendaki menjalani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin warga tempatan serta cagaran RM3,000.

Dia juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara, manakala permohonan penangguhan hukuman ditolak.

Pada 23 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ismanira untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara lima tahun tersebut.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap Allahyarham Zayn Rayyan, yang berusia enam tahun ketika kejadian, didakwa mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang berkemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berhampiran apartmen berkenaan antara pukul 12 tengah hari pada 5 Disember 2023 dan 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×