BEIRUT: Tentera Israel dengan angkuh dan kejam tanpa bekas kasihan menggunakan bahan letupan fosforus ketika membedil beberapa bandar di selatan Lubnan pada Jumaat dalam konfliknya dengan negara itu yang masih berlanjutan.
Menurut laporan agensi berita NNA, bedilan Israel menyasarkan kawasan pinggir Zawtar al-Sharqiyah, Mayfadoun dan Nabatieh al-Fawqa di daerah Nabatieh.
Israel turut melancarkan semula serangan ke atas Zawtar al-Sharqiyah dengan menggunakan bahan letupan serupa.
Sementara itu, di daerah Tyre, bedilan peluru berpandu turut menyasarkan Wadi Zibqin dan kawasan pinggir Haris dan Haddatha.
Bahan letupan fosforus putih menghasilkan api apabila bahan kimia di dalamnya bertindak balas dengan oksigen.
Akibat kesan pembakarannya, ia menyebabkan lecuran yang menyakitkan dan menembusi kulit, selain kerosakan sistem pernafasan serta kegagalan organ.
Individu yang terselamat daripada pendedahan awal pula mengalami kesan fizikal, psikologi dan sosioekonomi dalam jangka panjang.
Tentera Israel menggunakan bahan letupan itu untuk memusahkan anggota-anggota Hizbullah yang melancarkan serangan ke atas negara haram tersebut selepas kematian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei pada 28 Februari lalu akibat serangan Amerika Syarikat (AS) dan Isreal di Teheran.
Penggunaan bahan letupan fosforus putih melalui letupan udara di kawasan berpenduduk, seperti serangan Israel di selatan Lubnan dari 2023 hingga 2026, adalah melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, yang juga dikenali sebagai undang-undang perang.
Kesan penggunaan bahan letupan fosforus putih disifatkan oleh beberapa negara dan pelbagai pakar sebagai kejam, amat menyakitkan, mengerikan dan tidak boleh diterima.
Penggunaan fosforus putih dalam kawasan berpenduduk mencetuskan kebimbangan kemanusiaan kerana kesan buruknya terhadap orang awam.
Bahan ini sering digunakan dalam beberapa konflik di Asia Barat sejak abad ke-20, termasuk semasa perang Arab-Israel, perang Iraq dan konflik di Gaza.
Tentera Israel bertindak sedemikan walaupun terdapat Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), yang telah ditempatkan di negara itu sejak 1978.
UNIFIL kini mempunyai 7,500 anggota pengaman dari kira-kira 50 negara.
Mereka ditempatkan di selatan Lubnan di sepanjang Garisan Biru, yang membentang sejauh 120 kilometer dan menjadi sempadan de facto antara Lubnan dan Israel.
Serangan Israel di Lubnan mengorbankan sekurang-kurangnya 4,386 orang, mencederakan 12,407 dan menyebabkan lebih sejuta lagi kehilangan tempat tinggal sejak awal Mac.
Serangan itu berterusan walaupun selepas perjanjian rangka kerja pada Jun yang menetapkan pengunduran tentera Israel secara berperingkat dari wilayah Lubnan yang didudukinya. Ia adalah sebagai pertukaran dengan penempatan tentera Lubnan di kawasan berkenaan dan pelucutan senjata Hizbullah.
Persoalannya sehingga kini ialah bilakah selatan Lubnan tidak lagi diganggu dengan serangan tentera udara Israel yang menyebabkan penduduk berada dalam ketakutan dan menjadi sasaran serangan Zionis?











