KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pas mula hadir ke Menara Dato’ Onn Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam ini bagi mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut politik yang berlaku di Negeri Sembilan.
Setakat 8.30 malam, antara pemimpin yang hadir adalah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan ADUN Pertang yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Turut hadir ADUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris, ADUN Linggi, Datuk Faizal Ramli dan ADUN Sikamat, Datuk Razali Abu Samah.
Sebentar tadi, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbincangan malam ini lebih kepada mengkoordinasikan usaha bagi mencari penyelesaian terbaik tanpa mencampuri urusan pentadbiran negeri.
“Saya sendiri pada malam ini akan mengadakan mesyuarat bersama seluruh ADUN BN dan juga ADUN daripada Pas serta parti-parti lain untuk saya mengkoordinasikan mesyuarat.
“Ia bukan untuk campur tangan, tetapi untuk cari jalan yang terbaik bagi penyelesaian kemelut yang sedang dihadapi di negeri ini,” katanya sebelum ini.
Tambah Ahmad Zahid lagi, mesyuarat itu bagi mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut itu yang perlu dibuat di peringkat negeri dengan mengambil kira Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, adat serta peraturan yang ditetapkan.
Menurutnya, mandat rakyat yang diberikan kepada 25 ADUN yang membentuk kerajaan negeri juga perlu dihormati dan diberikan keutamaan.
“Keseluruhan 25 ADUN yang ada, yang telah mendapat mandat untuk membentuk kerajaan ini mesti terus diberikan keutamaan dan penyelesaian akan datang ke Dewan untuk saya punya pilihan yang terbaik bagi kita menyelesaikan masalah yang sedang melanda,” katanya.-UTUSAN











