PETALING JAYA: Selepas 16 tahun menanti, Malaysia akhirnya kembali meraih kilauan pingat perak dalam acara 10 meter (m) platform seirama lelaki Sukan Asia apabila gandingan Elvis Priestly Clement dan Enrique Maccartney Harold melakar kejayaan membanggakan di Aichi-Nagoya, semalam.
Pada aksi di Pusat Akuatik Tokyo, pasangan muda negara itu mempamerkan aksi meyakinkan untuk mengumpul 377.52 mata keseluruhan, sekali gus menghadiahkan perak pertama Malaysia dalam acara berkenaan sejak kali terakhir disumbang gandingan Bryan Nickson Lomas dan Ooi Tze Liang pada Sukan Asia Guangzhou 2010.
Kejayaan tersebut hadir selepas Elvis dan Enrique berjaya mengatasi tentangan sengit pasangan Korea Selatan, Shin Jung Whi dan Kim Young Taek dalam pertarungan yang berlarutan hingga ke terjunan terakhir.
Jung Whi dan Young Taek bagaimanapun terpaksa akur dengan pingat gangsa selepas mengumpul 375.90 mata, hanya 1.62 mata di belakang wakil negara.
Pingat emas pula menjadi milik pasangan pilihan dari China, Yang Hao dan Lian Jun Jie yang sekali lagi membuktikan status mereka sebagai kuasa besar acara terjun selepas mengumpul 465.54 mata.
Pengarah teknikal skuad terjun kebangsaan, Yeoh Ken Nee berharap gandingan Elvis Priestly Clement dan Enrique Maccartney Harold dapat meneruskan momentum kejayaan pingat perak Sukan Asia mereka untuk melayakkan diri ke acara 10m platform seirama lelaki di Sukan Olimpik.
“Melangkah ke hadapan, saya berharap mereka dapat melayakkan diri bagi acara ini di Sukan Olimpik (2028),” katanya kepada MSN.
Ken Nee turut memuji keyakinan yang ditunjukkan oleh gandingan negara sepanjang saingan akhir itu. – UTUSAN











