MADRID: Puluhan ribu penduduk membanjiri jalan raya di Madrid pada Sabtu bagi membantah tindakan pengusiran seorang wanita warga emas berusia 87 tahun dari kediaman yang didudukinya seumur hidup.
Insiden membabitkan Maricarmen Abascal dibawa keluar dari apartmennya dengan menggunakan pengusung pada Rabu lalu.
Pengusirannya berlaku selepas polis memecah masuk pintunya sekali gus meletakkan semula krisis perumahan di Sepanyol sebagai tumpuan utama menjelang pilihan raya umum yang dijadualkan tahun depan.
Para penunjuk perasaan menggoncang kunci, membunyikan wisel, melaungkan slogan dan mengibarkan sepanduk yang menuntut langkah drastik bagi mengekang peningkatan kos perumahan serta menyukarkan proses pengusiran penyewa.
Abascal dipaksa mengosongkan apartmen yang dihuni beliau selama 70 tahun selepas sebuah syarikat hartanah membeli apartmen tempatnya tinggal.
Syarikat itu turut menaikkan kadar sewa bulanan sebanyak 275 peratus kepada 2,650 euro (RM12,300), menurut kenyataan kesatuan penyewa.
Abascal kini menjadi simbol perjuangan krisis perumahan di Sepanyol, merayu orang ramai supaya menyertai bantahan berkenaan menerusi satu mesej video yang dimuat naik beberapa jam sebelum perhimpunan bermula.
“Saya mahu apa yang berlaku ke atas diri saya ini menjadi pengajaran supaya ia tidak berlaku kepada orang lain,” kata Abascal dari katil hospital di mana beliau sedang menerima rawatan akibat keletihan melampau selepas diusir.
“Saya mahu ia memberi semangat kepada orang ramai untuk terus berjuang dan membantu mengubah undang-undang yang membenarkan saya diusir,” tambahnya dalam video yang diterbitkan oleh kesatuan penyewa itu.
Pihak berkuasa menganggarkan kehadiran sekitar 25,000 peserta, manakala penganjur perhimpunan mendakwa seramai 300,000 orang menyertai perarakan tersebut yang berakhir di hadapan bangunan parlimen. – AGENSI











