Pelepasan tarif: Kesan TNB dijangka terhad

Pelepasan tarif: Kesan TNB dijangka terhad

PUBLICINVEST mengekalkan penarafan ‘outperform’ terhadap saham TNB.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesan kewangan Tenaga Nasional Bhd (TNB) susulan peluasan sementara perlindungan tarif elektrik kepada pelanggan domestik dijangka terhad, dengan jumlah yang perlu ditanggung kumpulan dianggarkan antara RM120 juta hingga RM150 juta bagi tempoh September hingga Disember 2026.

Penganalisis Public Investment Bank Bhd. (PublicInvest), Khairul Fahmi berkata, berdasarkan andaian kadar cukai 24 peratus, jumlah tersebut bersamaan RM91.2 juta hingga RM114 juta selepas cukai atau hanya sekitar 2.1 hingga 2.6 peratus daripada unjuran keuntungan bersih TNB bagi tahun kewangan 2026 sebanyak RM4.40 bilion.

“Impak terhadap pendapatan adalah terhad kerana pelepasan tambahan hanya meliputi pelanggan domestik yang menggunakan lebih 600 kilowatt-jam (kWh) sehingga 800 kWh sebulan, manakala anggaran pihak pengurusan turut mengambil kira andaian kos bahan api yang konservatif.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jumlah sebenar yang perlu ditanggung TNB berpotensi lebih rendah sekiranya kos bahan api berada di bawah andaian pihak pengurusan,” katanya dalam nota penyelidikan.

Bank pelaburan berkata, pengurusan TNB turut mengesahkan bahawa rangka kerja Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA), pulangan terkawal dan dasar dividen kumpulan kekal tidak berubah.

“Walaupun peluasan tempoh sokongan kekal sebagai risiko, kami menganggapnya boleh diuruskan memandangkan skop pelepasan adalah bersasar dan pendedahan terhadap pendapatan adalah terhad.

“Kami mengekalkan unjuran pendapatan TNB serta penarafan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM16 sesaham,” ujarnya.

Sementara itu, PublicInvest berkata, cuaca lebih panas dan keadaan berjerebu telah meningkatkan penggunaan elektrik isi rumah, menyebabkan bahagian akaun domestik yang dilindungi di bawah paras 600 kWh susut daripada 85 peratus kepada 80 peratus.

“Peningkatan paras perlindungan kepada 800 kWh sebulan akan membawa kira-kira satu juta akaun domestik tambahan di bawah pelepasan itu, sekali gus meningkatkan liputan kepada lebih lapan juta akaun atau hampir 90 peratus daripada keseluruhan pelanggan domestik.

“Pelanggan yang layak akan dikecualikan daripada caj AFA, caj runcit bulanan RM10 serta cukai perkhidmatan lapan peratus.

“Bagaimanapun, pelepasan tambahan itu hanya meliputi pelanggan domestik yang menggunakan lebih 600 kWh hingga 800 kWh sebulan dan tidak melibatkan pengguna komersial atau industri,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×