NOVA fasa 1 di perbandaran Seremban 2 Heights (S2 Heights), Seremban mencatatkan kadar jualan sebanyak 80 peratus susulan penyerahan milikan kosong (VP) projek berkenaan, sekali gus mencerminkan permintaan berterusan terhadap kediaman lereng bukit di perbandaran itu.
Projek kediaman bertanah pegangan bebas berkepadatan rendah oleh IJM Land Berhad (IJM Land) itu merangkumi nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM154 juta bagi fasa 1, daripada keseluruhan pelan induk projek bernilai RM332 juta.
Pembangunan pegangan bebas di atas tanah seluas 13.05 hektar itu secara keseluruhannya menawarkan 161 unit kediaman eksklusif merentasi dua fasa, dengan fasa 1 merangkumi 64 unit rumah berkembar dua tingkat, lima unit banglo dua tingkat serta empat lot banglo.
Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Datuk Chai Kian Soon berkata, Seremban 2 Heights kini berkembang sebagai sebuah kawasan kediaman lereng bukit yang semakin matang dan eksklusif.
Katanya, ini menjadikannya lokasi ideal bagi pembeli rumah yang mahukan privasi, ruang persekitaran hijau serta kediaman berbilang generasi yang lengkap dengan kemudahan perbandaran.
“Penyempurnaan VP bagi fasa 1 membolehkan pembeli melihat sendiri penzahiran visi kehidupan lereng bukit yang dirancang rapi, sekali gus mewujudkan nilai jangka panjang merentas generasi, selaras dengan matlamat syarikat untuk menyediakan kediaman bertanah yang berkualiti.
“Pembangunan ini direka dengan mengintegrasikan kontur semula jadi tanah, menyediakan kira-kira 1.73 hektar kawasan hijau berlandskap menerusi empat taman bertema, selain mengambil kira aspek kemampanan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kesemua rumah direka berasaskan konsep kontemporari tropika dengan mengutamakan pencahayaan semula jadi dan pengudaraan silang.
Tambahnya, kediaman di Seremban 2 Heights sentiasa direka untuk menawarkan ruang kehidupan yang berkualiti dalam suasana kehijauan yang menyeluruh.
“Di NOVA, kami melangkah lebih jauh dengan mengimbangi reka bentuk kontemporari tropika dan fungsi harian menerusi falsafah ‘Where Legacy Meets Luxury’.
“Ciri-ciri ini membawa elemen kehijauan ke dalam rumah dan mewujudkan hubungan visual yang harmoni dengan alam semula jadi,” ujarnya.
IJM Land berkata, rumah berkembar fasa 1 menawarkan keluasan binaan 3,370 kaki persegi dengan keluasan tanah sehingga 7,580 kaki persegi, manakala unit banglo pula hadir dengan keluasan binaan antara 4,247 hingga 4,463 kaki persegi.
“Antara ciri utama termasuk kemasan jubin porselin, lapisan bumbung penebat haba serta ciri rumah pintar seperti kunci pintu digital, sensor pintu, kawalan lampu dan penghawa dingin serta suis pengasing kenderaan elektrik (EV) di anjung kereta.
“Bagi menyokong peralihan kumpulan ke arah kehidupan rendah karbon dan lebih mesra alam, projek ini memperoleh pensijilan GreenRE Bronze Provisional dengan dilengkapi sistem penuaian air hujan, sistem pemanas air solar dan pencahayaan taman berkuasa solar,” jelasnya.
Menurutnya, satu daripada ciri reka bentuk utama NOVA ialah denai mendaki hutan eksklusif yang memberi penghuni akses terus ke laluan alam semula jadi di lereng bukit.
Jelasnya, kemudahan ini memupuk gaya hidup sihat serta hubungan yang lebih rapat dengan alam sekitar.
“Di luar kediaman, NOVA menawarkan trek joging sepanjang tiga kilometer, Community Villa eksklusif yang dilengkapi kolam renang dan gimnasium, gelanggang bola keranjang bersaiz penuh yang boleh digunakan untuk pickleball, kebun komuniti, Central Park serta Linear Park interaktif.
“Pembangunan ini turut menikmati akses ke pelbagai kemudahan sedia ada di Seremban 2 seperti AEON Mall Seremban 2, Mydin Mall, Columbia Asia Hospital, Zenith International School serta hab gaya hidup komersial baharu, Nexus yang terletak hanya 300 meter dari kediaman,” katanya.
NOVA turut menikmati akses yang strategik menerusi Lebuhraya Utara-Selatan (menerusi plaza tol Seremban dan Ainsdale), Lebuhraya Seremban–Port Dickson, laluan terus tanpa tol ke KLIA serta Stesen KTM Tiroi yang terletak kira-kira empat kilometer dari projek.
“Fasa seterusnya iaitu NOVA fasa 2 yang dilancarkan pada 18 Februari 2025 kini mencatatkan kadar pengambilan sebanyak 70 peratus, menawarkan 88 unit rumah berkembar dua tingkat dengan GDV RM178 juta,” katanya. – UTUSAN









