Pembukaan jejambat baharu tingkat akses ke The Light Waterfront

Pembukaan jejambat baharu tingkat akses ke The Light Waterfront

PEMBUKAAN jejambat baharu memudahkan akses pengguna jalan raya untuk ke The Light Waterfront Penang di Gelugor, Pulau Pinang.-GAMBAR/IJM LAND
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Akses ke kawasan pembangunan tepi laut, The Light Waterfront Penang di sini kini semakin mudah selepas projek jejambat yang siap sepenuhnya baru-baru ini telah dibuka secara rasmi, bermula hari ini.

Menurut pemaju projek, IJM Land Berhad (IJM Land), jejambat sehala itu dibina bagi memudahkan aliran trafik sekali gus membantu mengurangkan kesesakan, meningkatkan kelancaran perjalanan serta memberikan keselesaan kepada penduduk, pelawat dan pengguna harian.

“Pembinaan jejambat itu merupakan sebahagian daripada pelan infrastruktur menyeluruh yang dilaksanakan bagi memperkukuh sistem perhubungan jalan raya di kawasan pesisir Pulau Pinang.

“Ia juga mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat dalam menyokong pembangunan negeri melalui peningkatan kemudahan dan kebolehcapaian,” katanya di sini, hari ini.

Selain menyediakan laluan untuk kenderaan biasa, IJM Land juga masih membuka laluan basikal khas di kawasan The Light Waterfront Penang kepada orang awam selaras dengan usaha menggalakkan pilihan perjalanan yang lebih selamat, sihat dan mesra alam.

Terdahulu iaitu pada Julai lalu, syarikat berkenaan turut membuka jalan bertingkat dari Jalan Tunku Kudin (arah Bayan Lepas) ke The Light Waterfront Penang bagi menyediakan akses terus kepada pengguna dari kawasan Green Lane, sekali gus melancarkan perjalanan ke kawasan pembangunan berkenaan.

Sementara itu, IJM Land memberitahu, mereka juga telah menaik taraf jaringan jalan raya serta infrastruktur di sekitar kawasan tersebut bagi menampung pembangunan utama yang sedang giat dijalankan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Dengan pembukaan jejambat baharu ini, The Light Waterfront Penang dijangka terus berkembang sebagai destinasi moden yang memperkukuh daya tarikan Pulau Pinang serta memperkayakan kehidupan komuniti melalui pembangunan bersepadu dan lestari,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN