LONDON: Satu insiden besar diisytiharkan pada Ahad di sebuah kampung berhampiran pangkalan udara AS di barat England, dengan penduduk dipindahkan dari beberapa kediaman selepas polis menahan beberapa lelaki kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Bahan Letupan.
Polis Gloucestershire berkata pada Ahad, pemindahan dilakukan di Whelford, berhampiran RAF Fairford, sebuah pangkalan Tentera Udara Diraja Britain yang menjadi lokasi operasi Tentera Udara Amerika Syarikat (AS).
Penduduk dipindahkan ke sebuah pusat rekreasi sementara pasukan perkhidmatan kecemasan menjalankan siasatan terhadap insiden berkenaan.
“Pasukan pelupusan bahan letupan khusus Tentera Darat kini sedang memeriksa beberapa kenderaan,” kata polis.
Kepungan keselamatan turut didirikan di sekitar kawasan berkenaan dan polis berkata, mereka percaya insiden itu terkawal.
Kehadiran besar pasukan perkhidmatan kecemasan dilaporkan di kawasan itu, termasuk Pasukan Tindak Balas Kawasan Berbahaya (HART) yang menyediakan sokongan perubatan khusus bagi insiden membabitkan bahan berbahaya serta kecemasan kompleks lain, menurut laporan BBC.
“Beberapa penduduk di kediaman berhampiran kini sedang dipindahkan di kawasan Whelford selepas satu insiden besar diisytiharkan.
“Ia susulan penahanan beberapa lelaki kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Bahan Letupan,” kata polis.
Pasukan polis itu berkata, siasatan masih dijalankan dan menggesa orang ramai supaya mengelak kawasan terjejas sementara pasukan perkhidmatan kecemasan meneruskan operasi.











