YAN: Seramai 300 penduduk dari beberapa lokasi berhampiran Kampung Teroi Bukit, di sini akan menjadi ‘tulang belakang’ yang akan menjayakan penganjuran sukan lasak bertaraf antarabangsa, Ultra Jerai Geopark Trail (UJGT) 2026 pada November depan.
Pengarah Program UJGT, Mohd. Zamri Said berkata, penglibatan komuniti setempat itu merupakan objektif pihaknya dalam mempromosikan Jerai Geopark sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang secara tidak langsung dapat memperkasa aktiviti ekonomi mereka melalui penyediaan inap desa, perniagaan dan perkhidmatan.
Katanya, selain bertindak sebagai krew teknikal sepanjang larian tersebut, penduduk juga akan bergotong-royong termasuk menyediakan makanan kepada para peserta yang kini sudah mencecah lebih 750 pelari bagi edisi ketiga, tahun ini.
“Penganjuran UJGT terus mendapat kerjasama komuniti dengan kali ini hampir 300 penduduk akan terlibat bagi menjayakan acara berkenaan. Inilah semangat komuniti yang menjadi antara kekuatan utama UJGT selain sokongan agensi kerajaan serta kerjasama pihak swasta,” katanya pada Program Pemuliharaan Geotapak Struktur Sedimen Sungai Teroi sempena UJGT 2026, hari ini.
Mohd. Zamri yang juga Pengerusi Komuniti Kampung Teroi Bukit berkata, pihaknya yakin penyertaan akan meningkat kepada 1,000 peserta menjelang acara yang dijadualkan pada 21 November depan.
Ujarnya, setakat ini terdapat kira-kira 50 peserta antarabangsa dari Thailand, Indonesia, Brunei, Singapura dan Filipina sudah mengesahkan penyertaan di samping pelari tempatan bagi kategori 50 kilometer (km); 25km; 10km dan 5km.
“Mereka akan melalui Geotapak Sungai Teroi, Rimba Rekreasi Lubuk Kawah, pendakian ke Puncak Gunung Jerai, Taman Eko Rimba Sungai Teroi, Geotapak Telaga Tok Syeikh, Geotapak Batu Kapal, Air Terjun Alor Naga serta menuruni Tangga Kenari.
“Perjalanan turut membawa peserta menyusuri hamparan sawah padi dan perkampungan tradisi yang menawarkan panorama indah serta pengalaman yang cukup dekat dengan alam, warisan dan kehidupan masyarakat setempat,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Yan, Ahmad Fuad Che Ani berkata, penganjuran UJGT bukan sahaja mampu menarik kedatangan peserta acara lasak itu tetapi pada masa sama mampu membawa limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.
“Kita berharap peserta UJGT juga mengambil peluang berkunjung ke tempat-tempat menarik lain di sekitar Yan, sama ada sebelum atau selepas perlumbaan kerana Yan memiliki banyak lokasi pelancongan untuk dilawati,” katanya. – UTUSAN








