PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang melancarkan Projek Whitening The Black Spot di Picca sebagai inisiatif terbaharu bagi membendung kadar jenayah serta meningkatkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat setempat.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, projek itu menyasarkan kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi dari segi jenayah serta yang menimbulkan rasa tidak selamat dalam kalangan penduduk.
“Matlamatnya adalah untuk menambah baik persekitaran, mengurangkan peluang berlakunya jenayah dan membina kejiranan yang lebih selamat, selesa serta harmoni,” katanya dalam satu kenyataan.
Dennis berkata, bagi fasa pertama, setiap ibu pejabat polis daerah telah mengenal pasti kawasan sasaran berdasarkan kadar jenayah, risiko keselamatan dan keadaan persekitaran setempat.
“Sebanyak 14 program merangkumi 38 inisiatif telah dirancang untuk dilaksanakan dalam tempoh sebulan, meliputi tindakan pencegahan jenayah, penguatkuasaan, penambahbaikan persekitaran, aktiviti kemasyarakatan dan pendidikan keselamatan,” katanya.
Menurut beliau, projek turut menangani faktor persekitaran dan isu sosial setempat yang boleh membuka ruang kepada jenayah serta menjejaskan rasa selamat masyarakat, dengan pelaksanaan digerakkan secara bersepadu menerusi kerjasama PDRM, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, wakil rakyat, pertubuhan komuniti, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta dan penduduk.
“Selepas tempoh pelaksanaan, setiap inisiatif akan dinilai berdasarkan perubahan statistik jenayah, keadaan persekitaran, maklum balas masyarakat dan keberkesanan tindakan yang diambil, sekali gus menentukan penambahbaikan serta peluasan projek ke fasa seterusnya,” katanya.
Sementara itu, PDRM Kontinjen Pulau Pinang turut akan menganjurkan Pertandingan Penciptaan Logo Unite For Safety dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri, terbuka kepada pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Enam serta pelajar kolej vokasional, bagi melibatkan generasi muda dalam usaha meningkatkan kesedaran bahawa keselamatan komuniti adalah tanggungjawab bersama.
“Inisiatif ini diharapkan menghasilkan perubahan yang dapat dilihat pada persekitaran dan dirasai oleh masyarakat.
“Kejayaannya bergantung pada tindakan yang terselaras serta penglibatan berterusan semua pihak. Bersatu Demi Keselamatan – Unite For Safety,” katanya. –UTUSAN











