PETALING JAYA: Tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti terlibat sekiranya siasatan mendapati kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba, Muhammad Idlan Fareeq mempunyai kaitan dengan perbuatan buli atau salah laku.
Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Dr. Mohd. Sobri Yusuf berkata, sebarang tindakan berkaitan kes itu perlu dibuat berdasarkan fakta dan hasil siasatan pihak berkuasa, bukan khabar angin atau maklumat yang belum disahkan.
Katanya, semua pihak juga perlu memberi ruang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan profesional bagi merungkai punca kejadian.
“KGMMB menyeru semua pihak supaya tidak terburu-buru membuat spekulasi, menuding jari atau membuat sebarang kesimpulan berkaitan punca kejadian.
“Perkara ini masih dalam siasatan pihak berkuasa dan kita perlu memberikan ruang kepada PDRM untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan profesional.
“Sekiranya hasil siasatan mendapati kejadian ini mempunyai kaitan dengan perbuatan buli atau sebarang bentuk salah laku yang menjejaskan keselamatan murid, tindakan yang tegas dan sewajarnya wajib diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, Muhammad Idlan Fareeq Shahril ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di asrama sekolah sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Seremban dan kemudian disahkan meninggal dunia.
Susulan itu, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mengulas lanjut, Mohd. Sobri berkata, keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid di asrama perlu diberi keutamaan kerana ibu bapa menyerahkan anak mereka kepada pihak sekolah dengan penuh kepercayaan.
Katanya, sebarang kelemahan yang dikenal pasti menerusi hasil siasatan perlu diperbaiki, manakala kecuaian atau pelanggaran peraturan yang terbukti perlu disusuli tindakan sewajarnya bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Sekolah dan asrama mesti menjadi tempat yang selamat untuk setiap anak. Tiada ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah dengan harapan anak mereka pulang dalam keadaan sebaliknya.
“KGMMB menyeru Kementerian Pendidikan, pihak sekolah, pengurusan asrama, ibu bapa dan seluruh warga pendidikan untuk terus memperkukuhkan mekanisme pencegahan buli, pemantauan kebajikan murid serta saluran aduan dan intervensi yang berkesan.
“Keselamatan dan kebajikan murid tidak boleh dikompromikan,” katanya. –UTUSAN











