Kembalikan warisan ke dalam sejarah

Kembalikan warisan ke dalam sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUKUM Kanun Pahang ialah warisan Sultan Abdul Ghaffar kepada Pahang dan seluruh Alam Melayu.

Lebih empat abad kemudian, seorang daripada zuriat Baginda akan menyerahkan ke tangan saya ijazah yang diperoleh melalui usaha untuk mengembalikan warisan itu ke tempatnya yang sewajarnya dalam sejarah.

Saya hanya mampu mengucapkan: Allahu Akbar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sesungguhnya, ini bukanlah sesuatu yang mampu kami rancang.

Ia bukanlah suatu pengakhiran yang dapat saya bayangkan ketika mula membuka manuskrip tersebut, mahupun ketika suami memberikan restunya untuk saya memulakan pengajian.

Perkara ini juga tidak pernah terlintas dalam fikiran kami ketika Sultan Nazrin dipohon untuk mengurniakan ijazah tersebut.

Hanya sekarang Allah mengizinkan kami melihat bagaimana setiap bahagian dalam perjalanan ini sebenarnya saling berhubung. Saya sentiasa percaya kepada ketentuan Ilahi.

Ada kalanya kita hanya dapat memahaminya setelah menoleh kembali.

Apa yang pada mulanya kelihatan sebagai beberapa keputusan yang tidak saling berkaitan tiba-tiba memperlihatkan suatu susunan yang begitu tepat dan penuh makna sehingga kita hanya mampu tunduk dalam kesyukuran.

Penemuan ini turut membuka suatu lagi pintu kepada sejarah keluarga-keluarga diraja Melayu.

Perkahwinan Sultan Abdul Ghaffar dengan Puteri Fatimatuz Zahra menghubungkan Pahang dengan Brunei. Perkahwinan putera mereka kemudiannya menghubungkan Pahang dan Brunei dengan Perak.

Melalui perkahwinan-perkahwinan diraja pada generasi seterusnya, susur galur yang sama berkembang ke dalam keluarga Diraja Selangor dan Johor.

Melalui nenda suami saya, Tengku Ampuan Besar Raja Fatimah binti Almarhum Sultan Iskandar Shah Kaddasullah, seorang Puteri Perak yang menjadi Tengku Ampuan Besar Pahang, darah keturunan itu kembali semula ke dalam Kesultanan Pahang.

Melalui Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, seorang Puteri Perak yang menjadi Permaisuri Johor, hubungan sejarah antara Brunei dengan Johor diperbaharui dalam suatu generasi yang lain.

Saya juga merupakan sebahagian daripada sebuah perkahwinan dinasti, seorang Puteri Johor yang menjadi Tengku Ampuan Pahang.

Tiba-tiba, apa yang mungkin kelihatan dalam buku sejarah sebagai suatu rangkaian perkahwinan diraja memperlihatkan makna yang jauh lebih besar.

Perkahwinan dinasti bukan sekadar penyatuan peribadi atau istiadat. Ia membentuk jaringan kekeluargaan yang mengikat Kesultanan-kesultanan Melayu sepanjang zaman.

Ia memperkukuh hubungan diplomatik, memelihara keabsahan pemerintahan, menghubungkan istana-istana serta membawa darah keturunan, tradisi dan ingatan dari sebuah kerajaan kepada kerajaan yang lain.

Semua ini memperlihatkan bahawa sejarah Pahang, Perak, Brunei, Selangor dan Johor bukanlah kisah-kisah yang terpisah. Semuanya merupakan bab-bab dalam sebuah sejarah ketamadunan Melayu yang jauh lebih besar.

Salasilah tersebut membolehkan saya melihat pergerakan sejarah melalui hubungan sesama manusia: Dari Brunei ke Pahang, dari Pahang ke Perak dan melalui generasi-generasi berikutnya kembali ke Pahang serta seterusnya ke Selangor dan Johor.

Darah keturunan merentas negeri. Ingatan merentas zaman. Kedaulatan diwariskan. Tamadun terus bertahan.

Inilah sebabnya pengurniaan ijazah saya yang akan datang bukan lagi sekadar suatu peristiwa akademik peribadi.

Ia membawa makna sejarah, intelektual, kerohanian dan dinasti yang tidak mungkin dapat saya bayangkan ketika memulakan pengajian.

Seorang zuriat Sultan Abdul Ghaffar akan mengurniakan ijazah kepada insan yang telah mempersembahkan tesisnya untuk mengingati kembali Baginda.

Sultan yang pernah digambarkan sebagai “yang adil, yang bijaksana, yang sempurna…yang tiada lagi sepertinya selepasnya” akan, dalam suatu pengertian, turut hadir melalui zuriat Baginda sendiri ketika warisan Baginda kembali dimuliakan.

Bagi saya, ini merupakan sebuah perjalanan intelektual dan kerohanian yang sungguh epik.

Saya bermula dengan sebuah manuskrip. Saya menemukan seorang Sultan yang dilupakan. Saya menyingkap suatu warisan perlembagaan.

Dan kini, ketika perjalanan ini semakin menghampiri kemuncak istiadatnya, saya menemukan bahawa Raja Pemerintah yang akan mengurniakan ijazah kepada saya membawa dalam dirinya darah Sultan yang sejarahnya telah saya usahakan untuk dikembalikan.

Saya berterima kasih kepada suami yang saya kasihi kerana memberikan restunya untuk saya memulakan perjalanan ini, menyokong saya sepanjang tempoh pengajian, serta memberikan sepenuh restu agar Sultan Nazrin mengurniakan ijazah tersebut kepada saya.

Saya merafakkan setinggi-tinggi menjunjung kurnia kepada Sultan Nazrin atas limpah perkenan Baginda untuk menyempurnakan tanggungjawab yang begitu besar maknanya ini.

Menerima ijazah daripada seorang cendekiawan diraja seperti Baginda sudah tentu merupakan suatu penghormatan yang besar. Menerimanya daripada seorang zuriat Sultan Abdul Ghaffar akan menjadikan detik itu benar-benar bersejarah.

Di atas segala-galanya, saya bersyukur kepada Allah kerana memberikan saya peluang, kekuatan dan ketabahan untuk menyempurnakan usaha ini.

Pada tahap usia ini, Allah membuka pintu ilmu kepada saya dan mengizinkan saya menemukan kembali bukan sahaja Hukum Kanun Pahang, tetapi juga jiwa seorang pelajar, ahli sejarah dan sarjana yang selama ini tersembunyi dalam diri saya.

Barangkali perjalanan ini tidak pernah menjadi milik saya semata-mata. Barangkali saya hanya diamanahkan untuk menyempurnakannya.

Sultan Abdul Ghaffar Muhyiddin Shah meninggalkan suatu warisan kepada Pahang. Perak memelihara darah keturunan Baginda.

Keluarga-keluarga diraja Melayu yang lain membawa susur galur itu merentas generasi. Lebih empat abad kemudian, sejarah sedang mempertemukan kembali warisan Baginda dengan zuriatnya.

Seorang Sultan yang dilupakan telah kembali diingati dan diletakkan semula di tengah-tengah sejarahnya sendiri.

Maka, dengan penuh kerendahan hati, kesyukuran dan hati yang masih diliputi rasa takjub, saya mempersembahkan hasil daripada perjalanan yang luar biasa ini:

Untuk Pahang dan Perak, saya persembahkan sejarah ini-sejarah kita. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×