MELAKA: Barisan Nasional (BN) akan memulakan rundingan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn, ibu negara, esok.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, hasil daripada rundingan tersebut akan dibawa ke Biro Politik UMNO dan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) dalam masa terdekat.
Menurutnya, pertemuan pertama itu hanyalah permulaan kepada beberapa siri perbincangan yang telah disusun oleh ibu pejabat parti bagi menilai semua pilihan sebelum keputusan muktamad dibuat.
Tegasnya, setiap hasil pertemuan akan diperhalusi terlebih dahulu sebelum dirumuskan untuk dibentangkan kepada pucuk kepemimpinan tertinggi UMNO.
“Esok ada pertemuan. Saya akan maklumkan selepas pertemuan yang pertama dan kami akan ada beberapa lagi pertemuan selepas itu.
“Rumusannya akan diangkat kepada Biro Politik dan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi untuk kamo menilai kelebihan, kekurangan dan segala yang memberikan manfaat kepada parti.
“Kami akan buat kajian yang lebih mendalam sebelum dibentangkan dalam mesyuarat MT yang akan datang untuk diputuskan siapakah rakan strategik di Melaka nanti,” katanya.
Beliau ditemui pemberita se;epas merasmikan Festival Masyarakat (Fesma) Negeri Melaka 2026 di Dewan Terbuka Semabok Dalam di sini, hari ini.
Ab. Rauf dalam pada itu enggan mengulas lanjut mengenai butiran lanjut tentang proses perbincangan berkenaan.
Namun katanya, semua pertemuan tersebut akan berlangsung di ibu pejabat parti sebagaimana pernah dimaklumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Semalam, Ahmad Zahid memaklumkan ibu pejabat UMNO telah mengaturkan dua pertemuan berasingan melibatkan kumpulan yang berbeza sebagai sebahagian daripada proses menilai pelbagai pilihan kerjasama menjelang PRN Melaka.
Beliau berkata, BN akan membuat keputusan berdasarkan pertimbangan menyeluruh terhadap mudarat dan manfaat dalam jangka sederhana serta panjang, termasuk kepentingan negara dan kekuatan gabungan itu di Melaka.-UTUSAN.











