PETALING JAYA: Aktiviti gempa bumi di Sabah akan dipantau secara berterusan selama 24 jam sehari menerusi 28 stesen seismik yang beroperasi di seluruh negeri berkenaan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd. Anip berkata, langkah itu susulan kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 yang berlaku di Kuamut, Kinabatangan pada pukul 5.32 pagi, semalam.
“Antara stesen seismik yang berhampiran dengan lokasi kejadian ialah Sapulut (57.23 km), Keningau (66.51 km), Sandakan/Telupid (74.36 km), Matupang (76.67 km) dan Tenom (93.32 km),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, Met Malaysia berupaya mengesan dan menganalisis kejadian gempa bumi dengan pantas dengan maklumat gempa disalurkan dalam tempoh enam minit selepas dikesan tertakluk kepada kesediaan data.
“Sehingga kini masih belum ada teknologi yang mampu meramal kejadian gempa bumi. Gempa bumi tidak boleh diramal dari segi masa, lokasi dan magnitud sebelum berlaku.
“Stesen seismik berfungsi mengesan serta menentukan magnitud gempa bumi selepas kejadian berlaku,” katanya.
Menurut beliau, ancaman tsunami pula boleh dinilai berdasarkan magnitud gempa bumi dan data pemantauan berkaitan dan sekiranya terdapat potensi ancaman tersebut, pihaknya akan mengeluarkan maklumat serta amaran berkaitan dengan segera.
Mengulas lanjut mengenai cadangan pemasangan stesen atau sensor seismik tambahan, beliau berkata langkah itu boleh memperkukuh liputan dan keupayaan pemantauan setempat namun ia tidak bermaksud gempa bumi dapat diramal lebih awal.
“Met Malaysia akan terus memantau aktiviti seismik di Sabah dan menyalurkan maklumat yang pantas, tepat serta sahih kepada orang awam dan agensi berkaitan. –UTUSAN











