PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berharap peruntukan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) ditingkatkan dalam Belanjawan 2027 bagi membolehkan kekerapan pelaksanaannya diperluas di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penambahan peruntukan penting bagi memastikan lebih ramai rakyat terus mendapat manfaat menerusi jualan barangan keperluan harian pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.
Beliau berkata, KPDN telah mengemukakan syor kepada Kementerian Kewangan (MOF) supaya mempertimbangkan penambahan peruntukan itu susulan sambutan menggalakkan rakyat terhadap inisiatif berkenaan.
“Namun, sebagaimana yang saya sebutkan tadi, sambutan daripada rakyat amat luar biasa dan kita berharap agar mendapat peruntukan tambahan.
“Dengan itu, jumlah kekerapan program dapat ditingkatkan menerusi pelbagai mekanisme yang wajar kita serahkan kepada pihak mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Selawat dan Tadabbur Syukbah Wanita Parlimen Papar di Masjid Daerah Papar, di sini, hari ini.
Menurut Armizan, kerajaan pada masa sama berdepan cabaran ruang fiskal yang terhad susulan peningkatan kos penting akibat konflik di Asia Barat, termasuk bahan bakar yang memberi kesan kepada harga barangan serta keperluan lain.
Katanya, kerajaan perlu meneruskan inisiatif berkaitan kos sara hidup yang memberi impak besar dan dilaksanakan secara bersasar, termasuk subsidi kepenggunaan, bantuan sosial serta bantuan kebajikan.
“Peruntukan bagi subsidi kepenggunaan, bantuan sosial dan bantuan kebajikan, pada fikiran saya, tidak boleh dikompromi,” katanya.
Sementara itu, KPDN merekodkan 81,455,623 transaksi PJRM bagi tempoh Januari 2023 hingga 23 September 2026, menunjukkan peningkatan penyertaan rakyat seiring dengan peluasan skala pelaksanaan program berkenaan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 9,244,504 transaksi direkodkan pada 2023, meningkat kepada 12,826,708 transaksi pada 2024.
Jumlah berkenaan kemudian melonjak kepada 27,534,770 transaksi pada 2025 dan terus meningkat kepada 31,849,641 transaksi bagi tempoh 1 Januari hingga 23 September tahun ini.
PJRM diperkenalkan sebagai program jualan murah di bawah agenda Payung RAHMAH pada 2023 sebelum diperkasakan sebagai inisiatif tetap kerajaan bermula 2024 dengan peruntukan khusus di bawah Belanjawan.
Armizan berkata, peruntukan program yang bermula dengan RM300 juta pada 2024 itu ditingkatkan kepada RM600 juta tahun ini, termasuk komponen Jualan RAHMAH, susulan sambutan luar biasa daripada rakyat.
Pelaksanaan PJRM kini meliputi seluruh negara dengan sasaran minimum tiga kali sebulan bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan zon Wilayah Persekutuan.
Sehingga 23 September lalu, sebanyak 3,000 rakan strategik peruncitan terbabit dalam pelaksanaan PJRM di seluruh negara.
Dalam perkembangan berkaitan, KPDN akan memperkenalkan pelekat khas yang memaparkan kod QR Takwim PJRM di lokasi tumpuan awam di seluruh negara bermula 1 Oktober ini.
Melalui imbasan kod QR itu, orang ramai boleh menyemak tarikh dan lokasi penganjuran PJRM berhampiran kawasan masing-masing.
Antara lokasi yang dikenal pasti untuk pemasangan pelekat berkenaan ialah kawasan perumahan awam, pasar awam, pasar tani dan tamu, dewan serta pusat komuniti, terminal pengangkutan awam, rumah ibadat, institusi keagamaan dan premis perniagaan.
Orang ramai turut boleh mendapatkan maklumat Takwim PJRM menerusi laman sesawang PJRM KPDN serta aplikasi Info Jualan RAHMAH MADANI yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple App Store. – UTUSAN











