WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) bersedia meneruskan kempen ketenteraan terhadap Iran selepas Presiden Donald Trump menolak cadangan Teheran menghentikan pertempuran dan membuka semula Selat Hormuz.
Menurut laporan The Wall Street Journal (WSJ), Trump secara peribadi meragui Iran dalam memenuhi tuntutan Washington dan menjangkakan kempen pengeboman baharu berlaku selepas pilihan raya Kongres pada November.
Iran mengemukakan inisiatif diplomatik itu pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, dengan cadangan itu disampaikan kepada pihak AS melalui pengantara Qatar.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, berkata pelan itu membolehkan Selat Hormuz dibuka semula dan laluan maritim biasa dipulihkan dalam tempoh tujuh hari sekiranya syarat yang ditetapkan dipenuhi.
Menurutnya, pilihan kini terletak pada Washington sambil menegaskan Iran tidak akan menerima paksaan, ancaman atau intimidasi serta tidak akan menyerahkan hak kedaulatannya di bawah tekanan AS.
Media melaporkan, pelan tersebut turut mencadangkan penamatan semua permusuhan di Asia Barat selama tujuh hari, termasuk di Lubnan, selain pembebasan aset Iran yang dibekukan bernilai sekurang-kurangnya AS$12 bilion (RM48.8 bilion).
Pelan itu juga dilaporkan menuntut penghapusan sekatan terhadap minyak Iran dan penamatan sekatan laut AS terhadap negara berkenaan, sebelum Iran membuka semula Selat Hormuz pada hari ketujuh gencatan senjata.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, dalam temu bual dengan CBS berkata proses gencatan senjata akan bermula pada hari AS menerima cadangan itu, sambil merujuk kepada memorandum persefahaman yang pernah dicapai kedua-dua negara di Pakistan.
“Kami sebelum ini sudah mencapai persetujuan berdasarkan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani di Pakistan… jika AS bersetuju untuk meneruskan dengan cara itu, segala-galanya akan kembali seperti sebelum ini,” katanya.
Jurucakap Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Hossein Mohebi, pula memberitahu AFP penamatan permusuhan di Yemen turut menjadi antara tuntutan Teheran dalam usaha mencapai penyelesaian konflik.
AS dan Iran sebelum ini menandatangani memorandum persefahaman pada Jun yang bertujuan menamatkan perang, membuka semula Selat Hormuz dan memulakan rundingan mengenai program nuklear Iran, namun perjanjian itu gagal tidak lama kemudian.
Ketegangan meningkat selepas Iran melepaskan tembakan ke arah kapal komersial di Selat Hormuz yang didakwa menyimpang daripada laluan yang diluluskan, dengan Teheran mewajibkan kapal mendapatkan kebenaran sebelum melalui perairan berkenaan atas alasan keselamatan dan kedaulatan.
Trump pula memuat naik imej peta di platform Truth Social yang menunjukkan Selat Hormuz dibulatkan dan dilabel sebagai ‘Selat Trump’, ketika laluan strategik itu kekal menjadi antara titik utama pertikaian dalam konflik berkenaan.











