Cuba tengok apa dalam genggaman anda sekarang atau apa yang anda pegang sebentar tadi Cuba tanya siapa yang reka benda itu?
Apa yang anda pegang itu hasil daripada satu inovasi yang dihasilkan setelah beberapa kali percubaan atau eksperimen.
Alfred Nobel yang terkenal kerana namanya dijadikan anugerah Hadiah Nobel setiap tahun merupakan seorang pereka cipta dan antaranya ialah dinamit atau bahan letupan.
Pernah satu ketika apabila melakukan eksperimen hampir membunuh seorang saudaranya. Demikian reka cipta dihasilkan yang memerlukan pengorbanan walaupun nyawa sekali pun jadi taruhan.
Reka cipta dihasilkan untuk menyelesaikan masalah, memenuhi keperluan manusia dan meningkatkan kualiti hidup. Sejak zaman dahulu, manusia sentiasa mencipta alat, teknologi dan kaedah baharu bagi memudahkan kehidupan harian. Jika ketika ini anda sedang memegang akhbar membaca tulisan ini, akhbar adalah bahan bercetak dan dihasilkan oleh Johannes Gutenberg daripada Jerman, antara inovasi paling penting dalam sejarah tamadun manusia.
Sekiranya anda membaca menerusi portal dalam talian yang dapat dihasilkan kerana kewujudan Internet world wide web (www) yang direka oleh Tim Berners -Lee.
Demikian kepentingan inovasi dan reka cipta dihasilkan untuk menyelesaikan masalah, memenuhi keperluan manusia dan meningkatkan kualiti hidup. Maka saya berharap persepsi atau mindset kita perlu berubah supaya sentiasa menghargai inovasi walaupun kelihatan pelik atau tidak masuk akal.
Saya ingin menarik perhatian beberapa tahun lepas, apabila seorang ahli politik mencadangkan idea kereta terbang, ramai warganet memberi komen balas berbaur sindiran dan memperlekehkannya, sedangkan faedahnya tetap ada. Begitukah caranya kita menghargai idea untuk menyelesaikan atau mengurangkan masalah orang ramai?
Berapa ramai daripada kita tahu tidak kurang 4,000 percubaan terpaksa dilakukan bagi merealisasikan mentol lampu yang dihasilkan Thomas Alva Edison. Dengan kata lain, bukan mudah menghasilkan inovasi. Cabaran awalnya adalah meyakinkan orang.
Kita kena akur banyak inovasi ini dihasilkan pereka cipta Barat. Realitinya, bukan semua inovasi daripada Barat kerana inovasi datang daripada demand masyarakat.
Sebagai contoh, satu inovasi yang dihasilkan untuk kepentingan masyarakat luar bandar iaitu kincir angin bertujuan menghasilkan elektrik dan air kepada komuniti luar bandar oleh pereka cipta dairpada Malawi, Afrika bernama William Kamkwamba.
Satu ketika dahulu ramai daripada kita menggunakan pemacu data mudah alih atau thumb drive yang diasaskan di Taiwan pada tahun 2000. Tahukah anda di sebalik pencapaian itu adalah Pua Khein-Seng, anak jati Sekinchan,
Selangor, tetapi belajar dan membina kerjaya di Taiwan yang sering digelar sebagai Bapa Pendrive kerana membangunkan reka bentuk cip tunggal yang merevolusikan industri USB flash drive.
Dunia inovasi kita masih ketinggalan kerana kebanyakan penghasil inovasi adalah intitusi pengajian tinggi dan berdasarkan statistik inovasi yang mereka kongsikan, tidak mungkin semuanya mampu menyelesaikan masalah masyarakat? sedangkan itulah matlamat inovasi.
Saya kongsikan idea Muhammad Yunus bekas perdana menteri interim Bangladesh, yang memperkenalkan skim mikrokeredit membantu petani luar bandar mengusahakan projek mereka. Idea tersebut sudah kita ciplak dan dibawa balik ke Malaysia dengan menjenamakannya sebagai program Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Bagi Pengerusi Persatuan Usahawan Reka Cipta dan Inovasi Malaysia (PURIM) Norshahrizal Nordin, walaupun kerajaan telah mengadakan MySTi atau Malaysia Science, Technology and Innovation (MySTI), iaitu satu inisiatif kerajaan Malaysia yang berkaitan dengan pengiktirafan dan pengkomersialan produk atau teknologi tempatan berasaskan sains, teknologi dan inovasi (STI).
“Ini mungkin berpunca kekeliruan fungsi dan tanggungjawab kementerian dan agensi berkaitan,” ujarnya.
Selain itu kata beliau, Malaysia masih mengamalkan dasar perniagaan eksklusif dengan mengenakan sekatan kepada pembangunan produk-produk tempatan yang boleh bersaing dengan jenama-jenama tertentu.
Akibatnya kita masih mengamalkan rebrand produk luar bagi melindungi industri tertentu yang mempunyai kepentingan golongan tertentu.
Dalam hal ini saya tabik kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menghasilkam penyelidikan dan pembangunan (R&D) membantu rakyat. UPM justeru menafikan sekeras-kerasnya hasil R&D yang dihasilkan universiti itu hanya terperap dalam rak.
Sebaliknya bekas Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Ahmad Farhan Saadullah berkata, UPM sentiasa mengutamakan usaha untuk membawa hasil R&D kepada pengguna demi memastikan ia dapat memberi impak yang diingini.
Kata beliau proses pengkomersialan adalah usaha kompleks yang mempunyai pelbagai rintangan. UPM melalui Putra Science Park (PSP) adalah penggerak penting untuk usaha itu dan banyak produk UPM telah memasuki pasaran.
Usaha terkini PSP adalah untuk menggabungkan beberapa produk UPM sebagai satu penyelesaian menyeluruh dalam masalah utama negara iaitu masalah keterjaminan makanan.
Projek yang dinamakan Sekinchan Sandbox UPM menggabungkan beberapa produk UPM supaya pengeluaran hasil padi meningkat dari segi jumlahnya, kualitinya dan juga mengurangkan kebergantungan kepada produk yang diimport.
“Hasil kejayaan projek Sandbox Sekinchan ini kini akan dibawa ke projek Agrohub di Sarawak yang juga akan melibatkan gabungan produk UPM yang akan dipadankan mengikut keperluan tempatan dan pasukan daripada
UPM Sarawak akan membantu kerajaan negeri Sarawak dengan lebih dekat,” ujar beliau.
Sebenarnya saya cuba mendapatkan statistik pengkomersialan R&D universiti awam, tetapi hanya UPM memberi respons. Itu kejayaan UPM dan ada lagi.
Seperti kata Pengarah PSP UPM, Prof. Dr. Samsilah Roslan, sehingga kini sebanyak 402 inovasi dan teknologi telah pun dikomersialkan. Beliau menyifatkan inovasi yang dikatakan terperap di rak hanyalah satu persepsi.
“Susah atau senangnya proses pengkomersialan sesuatu teknologi bergantung kepada beberapa perkara.
“Namun jika teknologi tersebut baharu, seperti vaksin, atau penggunaan kriptografi untuk era komputer kuantum, terdapat banyak prosedur yang perlu dibangunkan dengan pelbagai agensi regulatori, banyak libat urus dengan pelbagai pihak, rakan industri, pelabur . Dalam bidang pemindahan teknologi, angka yang selalu dirujuk adalah 25 peratus daripada jumlah inovasi dalam sesuatu organisasi penyelidikan wajar dikomersialkan,” ujarnya.
Negara maju seperti Amerika Syarikat lazimnya mencapai antara 30 hingga 40 peratus pengkomersialan R&D universiti, manakala negara- membangun masih di bawah lima peratus.
Timbalan Pengarah Pusat Hubungan dan Jaringan Industri (CIRNET) UPM Prof Madya Dr. Sudesh Prabakharan berkata, sebenarnya banyak inovasi dihasilkan universiti awam di negara ini. Namun menurut beliau antara punca masalah tidak dikomersialkan kerana kos terlalu tinggi. Jika hendak membawa daripada prototaip ke produk sebenar memerlukan kos antara RM200,000 hingga RM500, 000 lagi.
“(Oleh kerana) universiti sudah habis geran, pelabur pula mungkin takut hendak tanggung. Selain itu, bahasa berbeza antara penyelidik yang bercakap bahasa saintifik manakala pelabur bercakap bahasa ROI (pulangan pelaburan), keuntungan, saiz pasaran. Kedua-duanya tidak faham antara satu sama lain,” ujarnya.
Maka banyak penganjuran seminar forum dan pameran seperti University Research and Innovation Investment Summit (URIIS) 2026 baru-baru ini diharap membantu menghubungkan penyelidik universiti dengan industri dan pelabur bagi membuka laluan lebih luas untuk membawa hasil penyelidikan ke pasaran.
Tidak ada sebab dengan program tersebut dan program lain seperti IDEAS, R&D kita masih terperam.-UTUSAN











