Love scam rugikan pekebun, peniaga produk pertanian RM1.15 juta

Love Scam rugikan pekebun, peniaga produk pertanian RM1.15 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang pekebun dan peniaga produk pertanian di Cameron Highlands, dekat sini kerugian lebih RM1.15 juta selepas terjerat dalam sindiket Love Scam yang menggunakan helah pelaburan emas dan platform loteri palsu.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, mangsa yang merupakan wanita berusia 50 tahun berkenalan dengan suspek dikenali sebagai Siew Gui Lim@Jason melalui aplikasi WhatsApp pada 17 Julai lalu ketika berada di Ringlet, Cameron Highlands.

Katanya, suspek kemudian menyamar sebagai Pengarah Cyber Security Consultant dan menawarkan pelaburan emas dengan menjanjikan keuntungan kepada mangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selepas mangsa membuat bayaran berkaitan pelaburan tersebut, suspek memperkenal pula platform Veniec Lottery yang didakwa sebagai usaha untuk mendapatkan semula wang pelaburan. Mangsa kemudian dipujuk untuk membuat beberapa deposit bagi mendapatkan keuntungan dan bonus.

“Sepanjang tempoh tersebut, mangsa membuat pelbagai transaksi ke tujuh akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM1,150,034.70. Mangsa turut diminta membuat bayaran tambahan termasuk jaminan risiko lapan peratus berjumlah RM243,121.70 dan yuran perkhidmatan lima peratus berjumlah RM151,951.10 yang dikatakan diperlukan bagi tujuan pengeluaran wang.

“Bagaimanapun, mangsa gagal mengeluarkan wang tersebut dan menyedari menjadi mangsa penipuan. Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kerugian keseluruhan RM1,150,034.70 melibatkan wang simpanan sendiri serta pinjaman daripada ahli keluarga. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Azry Akmar menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan individu yang menggunakan hubungan persahabatan atau hubungan istimewa untuk memujuk mangsa membuat pelaburan atau menyerahkan wang.

“Orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan terlebih dahulu terhadap kesahihan mana-mana tawaran pelaburan sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan. Selain itu, orang ramai disaran membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon melalui platform Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×