Anwar seru hormati ulama, dengar nasihat guru

Anwar seru hormati ulama, dengar nasihat guru

ANWAR Ibrahim menandatangani plak Peluncuran Pusat Pengajian Hadith Sunan Sittah ketika hadir ke Program Sebarkan Salam dan Pendang Berselawat di MUSHTAQ, Pendang, Kedah semalam. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setinggi mana pun kedudukan dan jawatan yang disandang seseorang, sifat merendah diri di hadapan ilmu serta menghormati golongan ulama perlu sentiasa dipertahankan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, panduan serta nasihat daripada para guru amat penting kerana golongan berkenaan bukan sahaja mendalami warisan kitab, malah memahami keresahan dan cabaran sebenar yang dihadapi masyarakat di peringkat akar umbi.

“Saya memilih untuk mendengar terlebih dahulu pesan para tuan guru kerana setinggi mana pun kedudukan seseorang, kita tetap perlu merendah diri di hadapan ilmu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dan menghargai pandangan mereka yang bukan sahaja mendalami kitab serta warisan ulama, malah memahami keresahan masyarakat dan cabaran umat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Sebarkan Salam dan Pendang Berselawat di Pondok Mujamma’ Ibnu Sunni Al-Talaqqi (MUSHTAQ), Pendang, Kedah.

Anwar berkata, sejarah bangsa tidak dapat dipisahkan daripada pondok dan pesantren yang terus memelihara iman, mempertahankan ilmu serta mendidik anak bangsa agar tidak kehilangan jati diri ketika tanah air dijajah.

Katanya, jasa para guru yang tekun mengajar meskipun dalam serba kekurangan tidak mungkin akan dilupakan.

“Sebab itu kita mesti terus mengangkat martabat pendidikan pondok dan mendekatkan generasi muda kepada khazanah ilmu Islam kerana dunia boleh berubah sepantas mana sekalipun.

“Kemajuan hanya membawa kebaikan apabila dipandu oleh iman, akhlak dan rasa tanggungjawab terhadap sesama insan,” katanya.

Tambahnya, pesan tentang hikmah dan ihsan amat dekat di hatinya kerana Islam menuntut ketegasan dalam menegakkan keadilan dan menjaga amanah.

Namun, katanya, ketegasan mesti sentiasa disertai kasih sayang agar ilmu menjadikan semua lebih jujur, lebih santun ketika berbeza pandangan dan lebih peka terhadap kesusahan orang lain.

“Mudah-mudahan Allah SWT membimbing kita menjadi umat yang teguh imannya, luas ilmunya, indah akhlaknya dan sentiasa membawa rahmat kepada seluruh masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×