MOSCOW: Kremlin menyambut baik pemilihan 46 veteran perang Russia di Ukraine ke dalam Dewan Rendah Parlimen (Duma Negara), selepas keputusan penuh pilihan raya diumumkan semalam.
Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Russia, Ella Pamfilova, berkata veteran berkenaan akan mengisi lebih 10 peratus daripada keseluruhan 450 kerusi Duma baharu.
Media Russia menyifatkan jumlah itu sebagai rekod bagi veteran perang dalam sejarah pasca-Soviet negara berkenaan.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, ketika ditanya mengenai kejayaan veteran yang menyertai apa yang disebut Russia sebagai “operasi ketenteraan khas” di Ukraine, berkata pengalaman mereka amat diperlukan dalam proses penggubalan undang-undang.
“Pengalaman wira kita amat diperlukan. Keputusan undian jelas mengesahkan perkara itu.
“Sudah tentu, setiap seorang daripada mereka akan memberikan sumbangan sebesar mungkin dalam bidang masing-masing bagi membentuk pelbagai inisiatif,” katanya.
Pamfilova berkata, keputusan akhir menunjukkan parti pemerintah, United Russia, memperoleh 349 kerusi dalam Parlimen baharu, manakala Parti Komunis memenangi 37 kerusi, LDPR yang berhaluan ultranasionalis mendapat 23 kerusi, Parti New People 19 kerusi, Parti Just Russia 17 kerusi dan Parti Motherland satu kerusi.
Empat lagi kerusi dimenangi calon yang tidak bernaung di mana-mana parti, katanya.
Presiden Vladimir Putin pada Rabu berkata, kadar keluar mengundi yang tinggi, iaitu hampir 60 peratus, menunjukkan rakyat Russia menyokong angkatan tenteranya yang berperang di Ukraine serta usaha pihak berkuasa melindungi keselamatan negara.
Dalam sistem politik negara itu, kebanyakan calon yang menentang perang dihalang daripada bertanding dan mereka yang mengambil bahagian tidak memenangi sebarang kerusi di Parlimen Persekutuan, meskipun parti liberal Yabloko berjaya memperoleh sedikit perwakilan dalam sebuah parlimen wilayah.- AGENSI











