Bahasa politiknya, ini adalah 'jarum-jarum halus’ - Ellie Suriaty - Utusan Malaysia

Bahasa politiknya, ini adalah ‘jarum-jarum halus’ – Ellie Suriaty

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Ellie Suriaty, menyifatkan pementasan teater, This is Malaysia, yang didakwa mempersenda Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuaan sebagai ‘jarum-jarum halus’ yang boleh merosakkan perpaduan di Malaysia.

Ellie atau Ellie Suriaty Omar, 56, berkata, pementasan itu bukan sekadar sebuah karya biasa kerana menurutnya, kandungannya secara khusus menyentuh prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara.

“Bagi saya, ini bukan sebuah naskhah yang dibuat secara kebetulan. Ia menyentuh Rukun Negara dan dalam bahasa politik, ini ialah ‘jarum-jarum halus’.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memang sudah lama ada kelompok seperti ini. Sebab itu saya rasa perkara ini perlu disiasat dengan lebih mendalam,” katanya.

Ellie berkata demikian ketika ditemui semasa sidang media pratonton telefilem Miselia di Theatrette, Wisma TV, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas berdasarkan pengalamannya berkecimpung dalam arena teater bahasa Melayu dan Inggeris, Ellie mendedahkan terdapat segelintir pihak dalam industri seni tempatan yang dikesan memperjuangkan agenda berkenaan.

“Saya rasa malang sekali sebab perkara itu berlaku pada 2015 dan baru sekarang kita perasan. Maknanya pementasan itu dipertontonkan untuk sekelompok orang yang mempunyai satu pemikiran. Saya rasa ini kumpulan liberal sekular.

“Rukun Negara diwujudkan pada 1970 untuk meredakan ketegangan peristiwa 13 Mei 1969, ini benteng keselamatan negara.

“Jadi apabila ada kumpulan tidak bertanggungjawab menyentuh mengenainya, apa modus operandi mereka? Di sebalik rumah teater pentas ini, ada NGO liberal sekular yang terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, Ellie turut menyarankan agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil langkah lebih tegas dalam menapis setiap penerbitan teater tempatan pada masa akan datang.

“Setelah berlakunya teater yang merosakkan nama baik Malaysia ini, saranan saya mungkin agak keras. Setiap penerbitan tidak kira teater Melayu, Inggeris, Cina atau Tamil, semua patut melalui KDN.

“Pihak kementerian perlu teliti dan semak skrip terlebih dahulu, sama seperti prosedur sesebuah penerbitan filem yang perlu melalui Bukit Aman sekiranya membabitkan elemen polis, askar atau senjata api,” katanya.

Sebelum ini, pementasan bertajuk This Is Malaysia tular menerusi sebuah video berdurasi kira-kira 10 minit di media sosial sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.

Menerusi rakaman tersebut, seramai lima pelakon dilihat membaca Rukun Negara sambil menyelitkan lontaran dialog yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×